MAYAT S Thanaseelan, 20, yang hilang ketika mandi di pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar di sini, ditemukan lemas. FOTO ihsan JBPM
MAYAT S Thanaseelan, 20, yang hilang ketika mandi di pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar di sini, ditemukan lemas. FOTO ihsan JBPM
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Lelaki yang dikhuatiri hilang ketika mandi berhampiran pantai Tanjung Asam di sini, semalam, ditemukan mati lemas hari ini.

Mayat S Thanaseelan, 20, yang berasal dari Air Itam itu ditemukan terapung kira-kira 600 meter dari kawasan pantai.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Mohd Faris Mansor berkata, mayat mangsa ditemukan pada 9.25 pagi selepas operasi disambung semula jam 8 pagi tadi.

Katanya, mayat mangsa sudah dibuat pengecaman oleh ibunya sebelum kes diserah kepada polis.

"Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat dan nelayan yang terbabit dalam operasi itu, kira-kira 600 meter dari kawasan pantai.

"Operasi hari ini berjalan lancar walaupun keadaan laut yang bergelora akibat hujan lebat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bagan Jermal, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan dibantu nelayan tempatan.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 12.10 tengahari.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai kehilangan Thanaseelan ketika mandi bersama enam lagi rakan di pantai berkenaan, semalam, bagi menghabiskan cuti hari minggu.

Kali terakhir mangsa dilihat mandi tidak jauh daripada pantai, sebelum disedari hilang oleh rakannya ketika bersiap untuk pulang.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 6.45 petang semalam sebelum disambung semula pada 8 pagi tadi.

#kw lemas, mayat, jumpa, Tanjung Asam, Bayan Lepas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 1:14 PM