Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati 30 peratus daripada 8,300 bangunan di seluruh negara belum mempunyai sijil perakuan bomba (FC) mengikut peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (pindaan 2020) (Akta 341).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata antara aspek yang tidak dipatuhi pemilik premis ialah tiada penyelenggaraan tetap, pengubahsuaian yang tidak mengikut peraturan serta gagal memenuhi keperluan teknikal.

"Terdapat pemilik premis yang sengaja melakukan kesalahan seperti ruang tangga digunakan sebagai stor dan kita keluarkan notis malah ada yang dalam proses didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita di Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 JBPM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, dalam situasi ekonomi mencabar pihaknya turut mengambil pendekatan bertolak ansur termasuk memberi tempoh sehingga dua tahun untuk pemilik premis melakukan penambahbaikan.

Katanya, di samping kelonggaran tempoh yang diberikan pemilik atau penyelia premis harus mengambil langkah-langkah keselamatan yang disarankan pihak bomba bagi mengelak risiko kejadian tidak diingini.

Beliau turut memuji usaha kerajaan yang sudah mengambil langkah meningkatkan sistem keselamatan kebakaran membabitkan 46 hospital awam di seluruh negara dengan pihaknya turut menggembleng usaha meneliti keperluan sama di stadium di negara ini.

"Setakat ini kesemua stadium terbuka didapati mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan cuma ada satu atau dua stadium tertutup belum memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 122 daripada 731 bangunan di Pulau Pinang termasuk kilang dan hotel belum memperoleh FC dan negeri berkenaan antara negeri yang aktif melaksanakan program berkaitan pemeriksaan keselamatan bangunan.

Terdahulu seramai 64 orang pegawai dan kakitangan JBPM menerima sijil APC 2021 masing-masing dengan penganugerahan itu dinilai melalui proses yang digariskan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 3:50 PM