Nazdy Harun

Kuala Berang: Pasar giliran merupakan pasar tertua di daerah ini yang beroperasi lebih 50 tahu lalu dan sudah melalui beberapa evolusi tapak perniagaan.

Pasar giliran yang beroperasi setiap Rabu dan Sabtu itu, pada permulaannya dijalankan di tebing Sungai Terengganu sebelum berpindah ke beberapa lokasi dan kini ia bertapak di kawasan parkir berhadapan Pasar Kuala Berang.

Peniaga, Rosmani Mustafa, 59, dari Kampung Durian Bador di sini, berkata, dia mula berniaga di pasar giliran sejak berusia belasan tahun dan sempat mengikut keluarganya berniaga di tapak asal iaitu di tebing Sungai Terengganu sebelum berpindah ke beberapa lokasi.

"Dahulunya pasar giliran ini merupakan tempat orang-orang kampung memasarkan hasil pertanian mereka namun bagi peniaga asal mereka masih mengekalkan jualan hasil pertanian penduduk setempat.

"Kini hanya lima orang lagi peniaga lama yang masih berniaga di pasar giliran dengan menjual hasil pertanian sayuran dan buah-buahan," kata ibu kepada enam cahaya mata.

Menurutnya, dia sendiri menjual sayuran dan buah-buahan miliknya dan penduduk kampungnya yang menghantar hasil pertanian ke rumahnya sebelum dijual di pasar giliran.

Katanya, dengan menggunakan sistem berkenaan hasil pertanian dapat dipasarkan selain harga berpatutan dan barangan yang dijual juga dalam keadaan segar.

SUASANA pasar giliran Kuala Berang. FOTO Nazdy Harun
SUASANA pasar giliran Kuala Berang. FOTO Nazdy Harun

Rakannya, Wan Esah Tun Sulaiman, 70, dari Kampung Telaga di sini, berkata, sudah lima kali tapak pasar giliran berpindah lokasi dan tapak asalnya adalah di tebing Sungai Terengganu yang beroperasi lebih 50 tahu lalu.

"Saya menjual hasil pertanian penduduk kampung antaranya pucuk paku, bunga kantan, kunyit, daun serai petai dan sebagainya dengan harga serendah RM2 hingga RM10 bergantung kepada jenis sayuran dan buah-buahan.

"Walaupun sudah menjangkau usia emas dan sudah ramai rakan-rakan tidak berniaga dan diganti dengan anak atau pun orang baru namun saya masih bersemangat untuk berniaga di pasar giliran ini.

"Pendapatan tidak seberapa kerana hanya dua hari saja berniaga dalam seminggu iaitu Rabu dan Sabtu namun pekerjaan yang sudah sebati itu mendorong saya untuk terus setia berniaga di pasar giliran ini.

"Dulu sedap (seronok) jual (niaga) di tebing sungai dan ia meninggalkan nostalgia buat saya dan empat lagi rakan yang masih setia berniaga di sini hingga kini," katanya.

Pengunjung, Hasmah Abdullah, 65, dari Kampung Buluh, di sini, berkata, pasar giliran dahulu amat meriah kerana pelbagai hasil pertanian milik penduduk akan dipasarkan pada hari berkenaan.

"Tentunya hasil pertanian yang dijual segar dan murah selain sayuran serta buah-buahan yang sukar didapati juga mudah untuk diperoleh di pasar giliran namun sejak kebelakangan ini fenomenanya sudah berkurangan.

"Orang lama-lama sudah ramai yang tidak berniaga dan yang tinggal hanya beberapa orang namun mereka masih membawa produk berasaskan kampung seperti tempoyak, buah jering, petai, ulam-ulaman dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 1:44 PM