Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan yakin status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) tidak akan terlucut.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana tindakan sama ada oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sudah diambil bagi menjamin status itu.

Katanya, kerajaan turut yakin laporan terhadap usaha pemulihan di Tasik Chini itu dapat dihantar kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebelum 30 September.

"Tempoh yang diberikan oleh Unesco itu sempat dan kita dalam proses menyediakan laporan dan semalam, saya mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya sudah mempersembahkan apa persiapan yang dibuat dan saya juga memaklumkan semua lesen perlombongan di Tasik Chini kita sudah batalkan termasuk lesen membabitkan orang kenamaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SMK Sultan Ismail di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Tasik Chini pada masa dahulu bukan berstatus Hutan Simpan Kekal (HSK), sebaliknya tanah kerajaan yang menyebabkan segala aktiviti perlombongan dibenarkan.

"Namun kini, kerajaan negeri sudah mewartakan Tasik Chini sebagai HSK dan itu tindakan yang diambil bagi meyakinkan Unesco bahawa Tasik Chini sebahagian daripada WNBR.

"Justeru, saya yakin apa yang dilakukan KeTSA dan kerajaan negeri itu menyebabkan status di Tasik Chini tidak akan terlucut.

"Hasil laporan yang dibuat akan dibawa dalam mesyuarat peringkat kebangsaan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KeTSA minggu ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebarang aktiviti, termasuk kelulusan baharu untuk pengambilan pasir dan mineral yang boleh menjejaskan Tasik Chini, sudah dihentikan.

Tindakan tegas itu diambil bagi memastikan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada WNBR dapat dikekalkan.

TASIK Chini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
TASIK Chini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:45 PM