ANTARA kawasan terbiar dipercayai sarang penagihan dadah di Kota Bharu. FOTO Syaherah Mustafa
ANTARA kawasan terbiar dipercayai sarang penagihan dadah di Kota Bharu. FOTO Syaherah Mustafa
Oleh Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri Kelantan sentiasa menjalankan pemantauan berkala di kawasan sarang penagihan dadah selain turut memusnahkan 'port' aktiviti tidak bermoral itu terutama di sekitar Kota Bharu.

Pengarahnya, Rohayu Ahmad, sepanjang tahun ini sebanyak lima kawasan penagihan dimusnahkan di daerah Kota Bharu iaitu di Kampung Sering, Wakaf Mek Zainab, Kampung Sungai Keladi, Kampung Badang dan Kok Lanas.

Katanya, tindakan berkenaan diambil hasil pemantauan serta risikan AADK, selain maklumat daripada masyarakat setempat yang peka dengan keadaan sekeliling.

"Biasanya, lokasi yang menjadi sarang penagihan dadah ialah seperti rumah terbiar, semak dan rumah didiami tanpa pengawasan ibu bapa.

"Tiada tempat khusus yang dijadikan sarang penagihan kerana ia berlaku dalam skala kecil dan tidak tetap atau 'mobile', manakala bekalan dadah pula biasanya diperoleh daripada pengedar atau tokan.

"Dadah paling banyak diambil penagih negeri ini ialah Methamphetamine atau pil kuda," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan rumah terbiar, tempat letak kereta yang sunyi dan kawasan semak sekitar bandar ini antara lokasi dikesan menjadi 'port' penagih dadah untuk melepaskan gian, tidak kira secara individu atau berkumpulan.

Kesemua lokasi berkenaan bukan berada di kawasan terpencil atau jauh daripada penempatan, tetapi berhampiran tempat tumpuan orang ramai sekali gus menimbulkan kegusaran masyarakat setempat memandangkan penagih biasanya boleh bertindak di luar kawalan.

Rohayu berkata, dalam tempoh 2020 sehingga kini, seramai 4,250 penagih dadah di negeri ini ditangkap.

"Sebanyak 1,255 penagih ditahan pada 2020, 1,956 pada 2021 dan dari awal Januari sehingga Jun tahun ini, seramai 1,039 penagih sudah ditangkap.

"Berdasarkan statistik Penyalahguna dan Penagih Dadah serta Bahan Mengikut Negeri bagi Januari hingga Mac 2022 (data awalan suku tahun pertama 2022) pula mencatatkan Kelantan adalah negeri ketiga tertinggi iaitu 10,928 kes.

"Kedah merekodkan jumlah tertinggi iaitu, 12,524 kes diikuti Selangor 11,239 kes, Kelantan (10,928); Terengganu (10,849) dan Johor (10,600)," katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu lebih cakna pada persekitaran berisiko dan mengambil tindakan sewajarnya dengan memberi maklumat mengenai penagihan bukan sahaja kepada AADK tetapi pemimpin tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka yang ingin membuat aduan boleh menghubungi Hotline AADK di talian 1-800-22-2235 atau hadir ke AADK daerah berhampiran sekiranya mempunyai maklumat aktiviti penagihan dadah dalam komuniti.

Berita berkaitan: 'Sampai sana bulu roma meremang' [METROTV]

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsikan ke e-mel Suara Anda, Kami Dengar di e-mel .

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:24 PM