Murnaena Muhammad Nasir


Petaling Jaya: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memusnahkan 'sarang' penagihan dadah berdekatan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Seri Setia, di sini, semalam.

Pengarah AADK Selangor, Dr Nazira Sadiron berkata, hasil risikan, pihaknya mengesan lokasi tertutup bersebelahan landasan kereta api itu yang turut dipercayai dihuni gelandangan.

"Hasil risikan mendapati kawasan ini semakin membesar berbanding minggu lalu dan kami ambil tindakan memusnahkannya.

"Buat masa ini, tiada tangkapan dilakukan kerana mereka sempat melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya dalam sidang media selepas operasi memusnahkan port dadah, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Sukri Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

ANGGOTA polis memeriksa antara lokasi penagihan dadah berdekatan stesen KTM Seri Setia. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
ANGGOTA polis memeriksa antara lokasi penagihan dadah berdekatan stesen KTM Seri Setia. FOTO Murnaena Muhammad Nasir

Nazira berkata, trend penagihan dadah di Petaling Jaya kebiasaannya dilakukan di rumah dan jarang penagih memilih kawasan luar.

"Penagih sentiasa berusaha memastikan aktiviti dibuat dalam keadaan tidak dilihat orang ramai.

"Mungkin kawasan ini dipilih kerana lokasinya yang strategik bagi pembinaan tempat tinggal golongan gelandangan," katanya.

Menurutnya, pihaknya dalam usaha menjalankan kerjasama dengan agensi lain bagi memerangi penagihan dan pengedaran dadah.

Sementara itu, Halimey berkata, menyedari kewujudan sarang dadah di sini, pihaknya mahu bekerjasama dengan KTM dalam memastikan lokasi itu diselenggara.

"Dua tahun lalu, saya dan AADK sudah memusnahkan port penagihan dadah di sini dan terkejut ia dibina semula tidak jauh daripada kawasan yang dimusnahkan dulu.

"Saya berharap dengan adanya kerjasama dengan KTM nanti, lokasi ini dapat dibersihkan sepenuhnya supaya lebih selamat, selesa dan cantik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 5:50 PM