SEORANG lelaki berjaya diselamatkan daripada cubaan terjun ke sungai dari Jambatan Sultan Yahya Petra. FOTO Ihsan pembaca
SEORANG lelaki berjaya diselamatkan daripada cubaan terjun ke sungai dari Jambatan Sultan Yahya Petra. FOTO Ihsan pembaca
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Merayu agar memikirkan keluarga termasuk isteri sedang mengandung dipercayai menyebabkan seorang lelaki membatalkan niat untuk terjun ke sungai dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, semalam.

Pujukan berkenaan dilakukan oleh Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim, Tengku Marzuki Tuan Mat sebelum lelaki berusia 27 tahun itu berjaya diselamatkan.

Tengku Marzuki berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan pada 10.20 malam lalu bergegas ke lokasi dan ternampak lelaki yang dikatakan keluar dari kereta dan mahu terjun ke dalam sungai.

Menurutnya, dia difahamkan lelaki itu sudah hampir dua jam berada di atas jambatan lalu berusaha untuk memujuknya selepas melihat isteri dan ahli keluarganya turut berada berhampiran.

"Saya mendekati mangsa yang duduk bersandar di konkrit penghadang sungai sambil menggosok belakangnya dan memintanya memikirkan keadaan isterinya yang sedang mengandung serta seorang lagi anaknya.

"Pada masa sama, saya juga menasihatinya agar bertenang kerana masalah ada penyelesaiannya, bukan dengan bertindak sedemikian," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tengku Marzuki berkata, dua bot penyelamat sudah berada di dalam sungai bagi bersiap sedia untuk menyelamatkan lelaki terbabit sekiranya dia nekad untuk terjun.

Katanya, selepas hampir 10 minit memujuk, dia berundur sebaik melihat keadaan lelaki berkenaan mula tenang, namun masih tidak berganjak.

"Saya kembali mendekati lelaki itu tidak lama kemudian dan menarik tangannya dengan perlahan agar mendapatkan keluarga sebelum kesemua mereka beransur pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:13 PM