Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Segelintir kedai runcit dan pasar raya di sekitar bandar raya ini didapati menjual minyak masak botol lebih murah antara 20 sen hingga RM1.20 berbanding harga siling runcit ditetapkan kerajaan.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan harga bagi minyak masak botol 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg masing-masing ditetapkan pada harga RM7.70, RM14.70, RM21.70 dan RM34.70 di peringkat runcit seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Suri rumah, Hamizah Abdul Latif, 46, berkata, perbandingan harga yang dibuat hari ini mendapati ada beberapa jenama minyak masak botol ditawarkan dengan harga lebih rendah berbanding harga diumumkan iaitu antara 50 sen hingga RM1.

"Kami berharap tiada lagi peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual minyak dengan harga mahal atau melebihi harga siling ditetapkan.

"Diharap selepas tempoh sebulan, harga minyak masak kekal rendah dan tidak dinaikkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

MAS Imran Adam menunjukkan bekalan minyak masak yang mencukupi dan dijual dengan harga rendah berbanding harga siling. FOTO Mary Victoria Dass
MAS Imran Adam menunjukkan bekalan minyak masak yang mencukupi dan dijual dengan harga rendah berbanding harga siling. FOTO Mary Victoria Dass

Sementara itu, seorang kerani am, Noor Ain Menhat, 38, berkata, penetapan harga siling memudahkan orang ramai, sekali gus mengelakkan kekeliruan dengan harga yang ditawarkan.

"Kami berharap harga minyak masak dalam botol lebih rendah selepas tempoh sebulan sebagai antara langkah membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan penurunan harga barangan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, syarikatnya menawarkan minyak masak botol 5 kg jenama sendiri dengan harga RM33.50 iaitu rendah RM1.20 berbanding harga siling, sementara jenama lain antara RM34.50 hingga RM34.70.

"Kami mendapati tiada pembelian panik dalam kalangan pembeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 1:56 PM