Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Wanita warga emas maut, seorang parah dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Choh menghala ke Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut ialah Rohana Mohd Noor, 66 manakala parah pula ialah Norfarhanah Rahim, 34.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.51 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah Perodua Axia.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat dua mangsa wanita di dalam salah sebuah Perodua Alza.

"Seorang daripadanya parah manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Selayang dengan EMRS, sementara mangsa meninggal dunia pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Lima mangsa lain yang menaiki dua kereta lagi cedera ringan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

"Bagaimanapun, maklumat kesemua mangsa yang cedera ringan itu tidak dapat dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 10:45 PM