GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Sungai Petani: Lima remaja lelaki berusia antara 16 hingga 17 tahun ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran mesej berbaur hasutan dan kes pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, tiga remaja lelaki berusia 16 hingga 17 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran mesej palsu menerusi aplikasi WhatsApp yang menghasut kumpulan tertentu untuk berkumpul dan bergaduh petang esok.

Beliau berkata, mesej berkenaan mencadangkan satu kumpulan berkumpul di kawasan kilang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria, pada 1.30 tengah hari esok dan membawa bersama benda tajam untuk bergaduh dengan satu kumpulan lagi.

Siasatan polis mendapati mesej berkenaan berpunca daripada salah faham yang tercetus apabila motosikal ditunggang dua remaja masing-masing berusia 16 dan 17 tahun, bergesel ketika keluar dari kawasan sekolah pada 19 Oktober lalu.

Md Zukir berkata, berlaku pergaduhan keesokannya membabitkan pelajar itu yang kemudian membawa kepada perhimpunan di kawasan luar sekolah kira-kira 3.30 petang semalam.

“Susulan itu, polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan penyebaran mesej berkenaan manakala dua lagi remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang berlaku.

"Kelima-lima mereka direman empat hari sehingga 29 Oktober ini, dan polis masih mengesan seorang lagi remaja lelaki bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 9:59 PM