ANGGOTA perubatan merawat kanak-kanak perempuan di hospital al Najar hospital susulan serangan Israel pada kediaman keluarganya di Rafah pada Sabtu. FOTO AP
ANGGOTA perubatan merawat kanak-kanak perempuan di hospital al Najar hospital susulan serangan Israel pada kediaman keluarganya di Rafah pada Sabtu. FOTO AP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia (CGM) merayu sumbangan orang ramai untuk bantuan diesel kepada hospital di Gaza yang terputus bekalan eletkrik susulan serangan rejim zionis Israel.

Pengasas CGM Muhammad Nadir Al-Nuri, 35, yang menetap di sana berkata, hospital di Gaza yang disebutkan jurucakap Kementerian Kesihatan akan 'break down' (tergendala) dalam tempoh 72 jam kerana ketiadaan elektrik.

Muhammad Nadir menerusi Facebook (FB) dan Telegram berkata: "Kesan sebuah bangunan yang diledak roket penjajah. Tidak ada yang berbaki untuk mereka melainkan harapan. Adakah kita akan memutuskan harapan mereka?

"Rayuan kecemasan untuk Gaza.

"Hari ini kita perlu menyampaikan bantuan diesel kepada hospital-hospital di Gaza yang disebutkan jurucakap Kementerian Kesihatan akan 'break down' dalam tempoh 72 jam kerana ketiadaan elektrik.

"Begitu juga kita perlu membantu ratusan mangsa yang cedera dalam serangan dua hari ini. Esok dan lusa kalau serangan berterusan kita akan memfokuskan kepada makanan.

"Salurkan sumbangan kalian melalui link emergency4gaza.com/kecemasan atau terus ke akaun Maybank Cinta Gaza Malaysia 564810507826 ref: kecemasan.

"Sebar dan sumbang ya," katanya.

Selain itu beliau turut mengemas kini jumlah mangsa serangan rejim dengan memetik Kementerian Kesihatan Palestin bahawa 24 orang syuhada (terkorban) termasuk enam daripadanya kanak-kanak dan 203 orang cedera setakat ini.

"Hari ini (Ahad) jangan lupa puasa Tasu'a dan esok Asyura. Doakan Palestin bersungguh-sungguh. Minta diri berehat sekejap," katanya.

Beliau turut menjelaskan pihaknya bergerak ke hospital As-Syifa' menziarahi mangsa perang Muhammad Nadir berkata, biasanya pada waktu malam serangan zionis akan meningkat dan meminta doa semua untuk kesejahteraan rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Sementara itu, laporan Bernama, hari ini, dipetik berkata sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin terbunuh manakala 215 lagi cedera dalam perang antara Israel dan Jihad Islam Palestin (PIJ) yang memasuki hari kedua.

Mangsa yang terkorban termasuk enam kanak-kanak dan dua wanita, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tentera udara Israel mensasarkan sebuah kediaman di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada malam Sabtu, hingga mengorbankan dua rakyat Palestin dan mencederakan lebih 30 yang lain, anggota keselamatan Palestin memberitahu Xinhua.

Jurucakap tentera Israel Avichai Adraee berkata dalam satu kenyataan bahawa serbuan itu mensasarkan komander briged selatan PIJ Khaled Mansour.

PIJ mengumumkan seorang anggotanya Ziad Al Mudallal terbunuh dalam serangan itu tetapi tiada kenyataan dikeluarkan mengenai Mansour.

Sementara itu, sekurang-kurangnya lima orang, termasuk empat kanak-kanak, terbunuh manakala 15 lagi cedera akibat serangan di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza pada malam Sabtu, menurut sumber Palestin.

Israel menafikan pihaknya bertanggungjawab terhadap serangan itu, dan mendakwa roket milik PIJ menyebabkan "pembunuhan tragis kanak-kanak" di Jabaliya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 1:05 PM