ORANG ramai menangisi kematian Layan al-Shaer. FOTO AP
ORANG ramai menangisi kematian Layan al-Shaer. FOTO AP
Agensi

Gaza: Seramai 17 daripada 48 rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan terbaharu Israel bermula 6 hingga 8 Ogos lalu, adalah golongan kanak-kanak.

Beberapa jam sebelum pengumuman gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Jihad Islam Palestin (JIP) pada Ahad, sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak Palestin terbunuh dalam dua serangan berasingan selang beberapa minit.

Terbaharu, AP melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Layan al-Shaer meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Mukassed di kejiranan penduduk Arab di Baitulmaqdis.

Menurut saudaranya, Hani al-Shaer, Layan sebelum itu cedera dalam serangan mengejut dron Israel.

Selain itu, Tiga daripada kanak-kanak itu ialah kembar berusia 13 tahun, Dalia dan Mohammed serta abang mereka Ahmed, 9, turut terbunuh bersama bapa mereka, Yaser Nabahin akibat serangan udara Israel ke atas rumah mereka di Kem Pelarian al-Bureij.

Lima mangsa lain berusia antara empat hingga 17 tahun kebanyakannya daripada keluarga Najam apabila serangan dron Israel berlaku ketika mereka menziarahi kubur datuk mereka di tanah perkuburan di kem Jabaliya.

Bapa adik-beradik berkenaan, Ehab berkata, tiada keselamatan untuk kanak-kanak di Gaza apabila tanah perkuburan pun dibedil Israel.

"Saya meminta masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel supaya berhenti membunuh anak-anak kita," katanya dalam portal AlJazeera.

Sementara itu, sembilan mangsa lagi adalah kanak-kanak lelaki dari Kem Pelarian Jabaliya, utara Palestin ketika mereka pulang dari membeli makanan di pasar.

Ibu salah seorang mangsa, Najwa Abu Hamada berkata, dia seakan tidak percaya anak tunggalnya Khalil Abu Hamada, 18, yang dilahirkan menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF), meninggal dunia.

"Saya menunggu 15 tahun untuk hamilkan Khalil.

"Apabila Khalil dilahirkan, saya rasa dia tidak akan hidup lama.

"Tetapi saya tidak pernah menjangka dia akan meninggal dunia dengan cara ini," katanya.

Tentera Israel memberitahu AlJazeera, 200 daripada roket yang dilancarkan oleh JIP tersalah tembak hingga ada yang membunuh orang awam.

Bagaimanapun, penduduk Palestin yang menyaksikan serangan itu menolaknya dengan mendakwa, kerosakan pada sekeliling dan kekuatan letupan adalah konsisten dengan serangan udara Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:47 AM