Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Peratusan perbelanjaan kasar pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (GERD) pada tahun 2025 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada 2018, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan.

Katanya, terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani Keluarga Malaysia sebelum negara mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi, termasuklah pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan pengkomersialan dan inovasi (C&I) berbanding dengan negara maju.

"Contohnya pada tahun 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun, 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia. Landskap R&D dan C&I Malaysia juga berbeza dengan negara-negara maju.

"Ini kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada tahun 2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS).

"Selain itu, daripada lebih kurang 5,435 syarikat pemula (atau startup) daripada tahun 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini, hari ini.

ISMAIL Sabri (depan, dua kiri) melawat ruang pameran di Majlis Pelancaran Persidangan Inovasi Malaysia 2022. FOTO Eizairi Shamsudin
ISMAIL Sabri (depan, dua kiri) melawat ruang pameran di Majlis Pelancaran Persidangan Inovasi Malaysia 2022. FOTO Eizairi Shamsudin

Majlis bertemakan komuniti mampan dan bandar hijau, pertanian lestari dan sekuriti makanan serta perniagaan mampan dianjurkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM), United Nations Development Programme (UNDP) dan kementerian berkaitan.

Perdana Menteri berkara, justeru pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan.

"Ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER yang menyasarkan 5,000 syarikat pemula dan lima syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih AS$1 bilion (kira-kira RM4.5 bilion) menjelang 2025.

"Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu CARSOME Sendirian Berhad. Oleh itu, lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit," katanya.

Beliau yakin program seperti Persidangan Inovasi Malaysia 2022 akan dapat menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan agensi kerajaan, masyarakat dan juga semua pihak yang berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 1:29 PM