Siti Rohana Idris


Jeli: Kemasukan minyak masak paket dikesan semakin aktif sejak kebelakangan ini apabila 'lambakan' barangan bersubsidi berkenaan boleh dilihat di premis perniagaan di negara jiran terbabit terutama berhampiran sempadan.

Timbalan Gabenor Narathiwat, Patimoh Sadiyamu berkata, kerajaan negaranya juga membuat pemantauan berhubung perkara itu dan isu berkenaan hanya boleh diatasi menerusi perbincangan dua negara yang terbabit.

Menurutnya, peniaga tidak boleh bersikap 'keras kepala' apabila hanya memikirkan keuntungan sahaja, sebaliknya perlu akur dengan polisi kerajaan sama ada Malaysia atau Thailand yang tidak membenarkan kemasukan barangan subsidi.

"Perkara ini boleh diatasi dengan perbincangan dan masing-masing (Malaysia dan Thailand) ada polisi, kena dengar arahan kerajaan.

"Kerajaan (Thailand) tahu mengenai perkara ini (kemasukan minyak masak subsidi) tapi bukan sahaja minyak masak, malah banyak lagi barangan lain yang ada keluar masuk termasuk beras siam dari Thailand.

PATIMOH menyampaikan ucapan dalam Program Kayuhan Muhibbah Thailand-Malaysia. FOTO Siti Rohana Idris
PATIMOH menyampaikan ucapan dalam Program Kayuhan Muhibbah Thailand-Malaysia. FOTO Siti Rohana Idris

"Kerajaan Thailand juga memantau, tapi perkara ini sudah lama berlaku dan sudah jadi tradisi terutama kawasan berhampiran sempadan," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas program Kayuhan Muhibbah Thailand-Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, di sini, hari ini.

Program itu menghimpunkan 2,000 pengayuh dari dua negara membabitkan jarak sejauh 20 kilometer dari ICQS Bukit Bunga ke Masjid Sultan Muhammad I Jajahan Jeli.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Zahari Kechik dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud.

Dalam perkembangan lain, Patimoh menggesa agar pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok disegerakan bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi kedua-dua negara.

"Saya difahamkan, pembinaan jambatan kedua ini baharu saja dimulakan dan saya yakin sebaik selesai dibina, sektor ekonomi dua negara ini akan berkembang dan bukan hanya tertumpu kepada domestik sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 3:53 PM