PERMASALAHAN ekonomi yang dihadapi ketika ini merentasi batasan geografi.
PERMASALAHAN ekonomi yang dihadapi ketika ini merentasi batasan geografi.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Krisis ekonomi yang dihadapi ketika ini merentasi batasan geografi dan ia membabitkan krisis global yang sudah menggoncang kekentalan ekonomi negara di seluruh dunia.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, banyak faktor yang berlaku secara serentak yang menyebabkan berlakunya semua yang sedang berlaku ketika ini.

Katanya, ini termasuk berlakunya permintaan jauh lebih tinggi berbanding penawaran, kenaikan harga minyak dan bahan api, perang antara Ukraine dan Rusia, dan kesan daripada penularan Covid-19 yang masih meninggalkan kesan besar kepada negara dan rakyat.

"Perkara yang sama juga berlaku dalam negara kita. Sebagaimana berlaku di negara lain, harga barangan makanan di dalam negara juga turut naik dan ia turut membabitkan kenaikan harga barangan lain seperti kenaikan harga alat ganti kenderaan termasuk bateri, tayar dan minyak enjin.

"Perkara sama juga terjadi kepada bahan binaan yang mana berlakunya kenaikan harga bahan mentah berkaitan pembinaan yang akhirnya berpotensi untuk mendorong kepada kenaikan harga rumah.

"Kerajaan dalam masa yang sama juga sedang berusaha untuk mengekang kenaikan harga barang antaranya dalam konteks minyak masak, komitmen dan jaminan untuk terus kekal memberikan subsidi minyak masak membabitkan jumlah RM4 bilion tahun ini iaitu RM1.8 bilion lebih tinggi daripada subsidi diberi pada 2021 iaitu RM2.2 bilion.

"Namun kebelakangan ini didapati sebahagian minyak masak diberi subsidi kerajaan tidak dirasai rakyat negara kita dan ada pihak tertentu ambil kesempatan dengan mengaut keuntungan melalui aktiviti penyeludupan minyak masak peket ke negara Thailand.

"Ketirisan bekalan minyak masak subsidi menyebabkan berlakunya kekurangan stok minyak masak peket di dalam negara.

"Selain daripada berlakunya ketirisan ini, minyak masak peket yang diberikan subsidi turut dinikmati kebanyakan pekerja asing dalam negara kita.

"Rakyat negara kita terpaksa bersaing dengan pekerja asing untuk membeli minyak masak peket yang sememangnya terhad dalam pasaran akibat kegiatan penyeludupan yang sedang berlaku," katanya.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk kerajaan melihat semula pelaksanaan sistem yang ada sekarang yang sebenarnya memberi kelebihan kepada sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan luar biasa daripada subsidi yang diberikan kerajaan manakala sebahagian rakyat terutamanya B40 dan M40 terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang turut menerima subsidi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 7:00 AM