Siti Normah Md Desa
Siti Normah Md Desa
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Kantin Malaysia berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dianggap tidak lagi relevan berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Setiausahanya Siti Normah Md Desa berkata, pihaknya sudah dua kali menyerahkan memorandum kepada KPM pada 2020 dan Oktober 2021 termasuk menghantar emel supaya kadar RMT itu dikaji semula.

"Bagaimanapun, tindak balas KPM agak dingin dalam isu ini. Kadar sedia ada iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak relevan berikutan peningkatan mendadak kenaikan harga barangan mentah di pasaran.

"Disebabkan itu timbul pelbagai isu negatif mengenai RMT ini apabila ada pihak menimbulkan makanan RMT tidak berkualiti dan tiada nutrisi," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kadar RMT bagi murid dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata, beliau akan mengemukakan syor supaya peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lalu, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

Malah, KKM akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang.

Siti Normah berkata, pihaknya berterima kasih kepada Khairy kerana mencadangkan perkara itu walaupun mereka sudah membawa isu berkenaan berulang-kali ke pengetahuan KPM.

"Situasi sekarang harga barangan naik 100 peratus, kali terakhir kadar RMT disemak semula pada 2015 bermakna sudah tujuh tahun kekal dengan harga lama.

"Ini tempoh paling lama untuk semakan semula kadar RMT sejak ia diwujudkan dulu hanya ambil masa dua hingga tiga tahun saja untuk semakan," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap KPM turun padang dan melakukan penambahbaikan terhadap program RMT termasuk menyemak semula menu.

"Program RMT ini sangat bagus dan kami berharap KPM mengambil berat isu ini, nak jalankan apa-apa program di sekolah pun, kalau murid tidak kenyang dan tidak cukup nutrisi pun pastinya bermasalah.

"Malah, ada menu dalam RMT sudah tidak sesuai kerana murid tidak suka menyebabkan pembaziran berlaku," katanya yang mengesahkan setakat ini terdapat 10,200 pengusaha kantin yang aktif berdaftar dengan persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 1:23 PM