GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkolaborasi di bawah satu naungan Rakan Strategik GEGAR Wanita (Wanita) berharap supaya Ahli Parlimen terutamanya Ahli Parlimen wanita bersatu hati meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Roslizawati Md Ali berkata, Wanita berpendapat RUU yang akan disertakan dengan pelaksanaan Generasi Penamat atau Generation End-Game (GEG) dengan lebih tertumpu melarang golongan remaja untuk tidak memulakan tabiat merokok itu mestilah disokong.

Beliau berkata, isu rokok dan vape kian berleluasa di Malaysia dan perkara itu amat membimbangkan kerana produk berkenaan memberi banyak kesan negatif kepada kesihatan bukan sahaja perokok malah orang di sekeliling.

"Kami mengharapkan supaya Ahli Parlimen terutamanya ahli Parlimen wanita bersatu hati meluluskan akta ini demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan generasi akan datang.

"Diharapkan Ahli Parlimen dan pihak kerajaan tidak mengikut telunjuk pihak industri (rokok, vape dan sebagainya) yang cuba mengekalkan perniagaan mereka dengan bergantung kepada rakyat Malaysia yang mengalami ketagihan nikotin sama ada di dalam vape atau rokok," katanya dalam kenyataan bersama beberapa NGO, hari ini.

Kenyataan bersama Rakan Strategik GEGAR Wanita diterajui oleh MyWATCH itu turut mewakili Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Datuk Dr Saunthari Somasundaram, Setiausaha Kerja (Operasi dan Program) Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (PEMADAM) Zuriah Abu Bakar, Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) Datuk Dr Raj Karim, Presiden Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed dan Presiden Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) Dr Afiq Mohd Noor.

Roslizawati berkata, terkini, Wanita kecewa dengan respons menerusi tinjauan pendapat beberapa Ahli Parlimen yang tidak menyokong RUU berkenaan.

"RUU ini sudah lama ditunggu oleh kami kumpulan aktivis Wanita yang menentang masalah merokok yang jelas menjejaskan kesihatan, bukan saja perokok tetapi juga mereka yang terdekat.

"Pelbagai masalah kesan sampingan yang akan timbul bukan saja masa kini seperti kemurungan dan kesihatan mental, tetapi juga masa depan, seperti kesihatan reproduktif (reproductive health), kanser, jantung, paru-paru dan sebagainya...itu tanpa mengambil kira beban kesihatan (health burden) dan impak sosio-ekonomi.

"Tanggungjawab wanita dilihat amat besar dan penting dalam pengurusan keluarga dan masyarakat atau komuniti," katanya.

Menurutnya, tabiat menghisap rokok dan vape tidak sepatutnya dianggap sebagai satu perkara yang normal dan tidak perlu dijadikan budaya ikutan.

"Akibat kecuaian kita sendiri, kini ramai wanita, remaja dan kanak-kanak di luar sana menjadikan rokok dan vape sebagai tabiat mereka. Justeru sekali lagi ditegaskan Wanita berpendapat pelaksanaan GEG atau Generasi Penamat yang lebih tertumpu melarang golongan remaja agar tidak memulakan tabiat merokok mesti disokong," katanya.

Beliau berkata, ia sekali gus membanteras masalah merokok dalam kalangan kanak kanak dan remaja.

Menurutnya lebih membimbangkan banyak laporan dan catatan di sosial media yang menunjukkan kesan sampingan penggunaan rokok dan vape kepada golongan muda.

"Ini bermakna sudah ramai remaja terjebak dengan ketagihan rokok dan vaping.

"Menurut sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi membanteras tabiat merokok dan mengekang penggunaan produk tembakau di Malaysia, KKM sudah lama berusaha menyediakan RUU ini sejak tahun 2013 lagi dengan melibatkan lima mantan Menteri Kesihatan.

"Jadi apa lagi yang hendak ditunggu. Pihak Wanita sangat berbesar hati atas kesungguhan politik yang ditunjukkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di mana akhirnya dapat membawa Akta ini ke Parlimen," katanya.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan GEG, golongan perokok akan berkurangan dan tiada pelapis yang akan meneruskan tabiat itu pada masa hadapan terutamanya golongan wanita dan juga kanak-kanak di Malaysia.

Sementara itu, katanya, pihak Wanita turut menyeru supaya semua agensi penguatkuasaan yang lain bersatu-padu dengan pihak KKM terutamanya membendung pasaran rokok tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 4:21 PM