Yusri Abdul Malek


Kuala Lumpur: Perdebatan mengenai pilihan penggunaan produk nikotin dan kesannya dalam tempoh 10 tahun lalu dan masa depan serta kemudaratan peraturan mengenai produk bebas asap menguasai persidangan Forum Global Mengenai Narkotin (GFN) bertema Pengurangan Mudarat Tembakau- Dekad Akan Datang di Warsaw, Poland, baru-baru ini.

Forum dihadiri pakar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, kesihatan awam, perundangan, alam sekitar komuniti perniagaan, ekonomi dan badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan pandangan dan hujah masing-masing mengenai vape dan hak pilihan pengguna dalam usaha menghasilkan produk bebas asap rokok pada 2025.

Kini, sudah ada di sesetengah negara di dunia yang menggubal undang-undang menentang produk bebas asap rokok seperti di Malaysia melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) dan dijangka dilaksanakan tahun depan selepas diperdebatkan di parlimen sebelum diluluskan.

Dengan itu, mereka yang lahir selepas 2007 tidak langsung boleh terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan produk berasaskan tembakau ini dan boleh dikenakan hukuman denda jika ditahan memilikinya.

Pakar kesihatan berpendapat aktiviti merokok dan vaping ini yang pada awalnya dianggap budaya sudah menjadi 'pandemik' dan menimbulkan kebimbangan memudaratkan kesihatan dalam kalangan masyarakat terutama apabila ada dalam golongan pelajar sekolah sudah mula berjinak-jinak dengan vape.

Peraturan baru ini secara tidak langsung mengehadkan hak golongan ini untuk memilih sama ada merokok atau menggunakan vape dan dianggap mencabuli hak asasi manusia.

Di persidangan GPN ini, pakar berhujah bahawa kekangan undang-undang menyebabkan pilihan untuk mereka yang bakal atau sedang merokok semakin kurang.

Bagi yang belum merokok, jangan mulakan, sudah merokok tolong berhenti, bagi perokok tegar, cuba bertukar kepada produk bebas asap yang kurang risiko kardiovaskular.

Dianggarkan, lebih satu bilion perokok di seluruh dunia dan ia adalah satu pasaran yang luas untuk ekonomi 'dosa' yang berkaitan produk tembakau.

Dalam memastikan bumi bebas asap rokok, syarikat multinasional termasuk Philip Morris International (PMI) sudah membelanjakan berbilion-bilion untuk penyelidikan bagi menghasilkan produk bebas asap dan kurang risiko kesihatan berbanding rokok tradisional.

Produk dihasilkan menawarkan rangkaian peranti pemanas tembakau, direka untuk memanaskan batang tanpa membakarnya. Oleh itu, ia tidak menghasilkan api, abu dan asap.

Di negara Asia, Filipina adalah negara pertama di Asia yang mempunyai peraturan khas yang mengawal rokok elektrik atau vape. Kerajaan Filipina meluluskan peraturan produk tembakau alternatif atau Vaporized Nicotine and Non-Nicotine Products Regulation Act (VNNP) yang terkandung dalam Akta Republik (RA) No 11900 sejak Julai 2022.

Peraturan itu secara amnya mengawal selia import, pembuatan, penjualan, pembungkusan, pengedaran, penggunaan dan komunikasi produk vape seperti e-rokok dan produk tembakau yang dipanaskan dan bukan dibakar.

Ia juga menetapkan sekatan ketat dengan denda atau penjara bagi mereka yang menjual kepada bawah umur.

Pemain industri vape Filipina mengalu-alukan peraturan itu kerana ia dilihat memberikan kesahihan dan peraturan yang jelas untuk mereka dalam industri itu.

Walaupun terdapat peraturan, cabaran negara dalam melindungi golongan bawah umur daripada menggunakan vape dan melindungi pengguna daripada produk tiruan masih sukar.

Presiden Quit For Good, sebuah NGO yang mempromosikan pengurangan kemudaratan rokok, Dr Lorenzo Mata berkata, apa yang mendorong kongres untuk meluluskan undang-undang adalah kerana mereka mendengar suara rakyat.

"Kami ada lebih sejuta pengguna vape di Filipina dan menurut tinjauan terbaharu, 19.5 peratus rakyat Filipina adalah perokok. Nisbah ini adalah satu daripada lima orang Filipina.

"Saya telah menjadi doktor selama lebih 40 tahun dan saya tahu betapa sukarnya perokok apabila mereka tiada pilihan atau alternatif yang kurang berbahaya bagi menghentikan tabiat itu," katanya.

Ketua Jabatan Kewangan dan Perkhidmatan Perundangan Jabatan Tenaga Filipina, yang juga penggubal bersama Akta Nikotin dan Produk Bukan Nikotin (VNNP) 2022, Setiausaha Sharon Garin pula berkata, objektif pertama VNNP itu adalah untuk kanak-kanak di bawah umur agar tidak mengambil nikotin dan bukan produk nikotin, kedua pula untuk perokok sedia ada agar mengamalkan tabiat yang kurang berbahaya.

"Jika vape mengeluarkan perisa, itu mungkin menjejaskan orang dewasa yang sudah menjadi perokok. Mereka mahukan lebih banyak pilihan apabila mereka memutuskan untuk beralih kepada produk yang kurang berbahaya," katanya.

Di Malaysia, hampir 60 peratus rokok dalam pasaran dikuasai rokok seludup dan negara mengalami kerugian lebih RM3 bilion dalam bentuk cukai setahun. Ramai kini beralih kepada vape bagi mengurangkan ketagihan selain produk rokok elektronik yang bukan membakar tetapi memanaskan tembakau.

Dalam forum itu, seorang pakar perubatan Australia, Dr Colin Mendelsohn berkata, kebimbangan mengenai penggunaan vape digunakan untuk terus mewajarkan tentangan terhadap pengurangan bahaya tembakau.

Bagi isu alam sekitar, pengarah Bay Pharma, David Burns berkata, vape pakai buang memang menyebabkan kesan alam sekitar tambahan pula jika berlaku kebakaran di tapak pelupusan seperti di Australia yang diakibatkan jentera berat digunakan untuk memadatkan tanah menghancurkan bateri litium yang tidak stabil hingga mencetuskan kebakaran.

Sementara itu, Naib Presiden Global Komunikasi PMI, Tommaso Di Giovanni berkata, penggunaan rokok elektronik yang menggunakan kaedah tembakau dipanaskan dan kurang risiko kepada kesihatan kini menjadi pilihan perokok di seluruh dunia terutama di Jepun dan Korea.

Katanya, pengenalan produk ini menyebabkan jumlah perokok tradisional menurun empat atau lima kali ganda daripada sebelum ia diperkenalkan.

"Penggunaannya paling berjaya di Jepun iaitu sebanyak 35 peratus dan Korea sebanyak 10 peratus. Jumlah itu semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata, kaedah kerajaan menggunakan undang-undang menghalang penggunaan e-rokok tidak akan berjaya dan ia bukan jalan terbaik mengatasi masalah ketagihan tembakau.

"Di Malaysia ada lima juta perokok dan 30 peratus daripadanya menggunakan vape. Rokok seludup pula menguasai 60 peratus pasaran tempatan. Bagi mengatasinya, perlu ada inovasi dalam penghasilan rokok elektronik agar ia lebih selamat dalam mengurangkan risiko kemudaratan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 4:48 PM