GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) bakal menjadi panduan bagi perancangan dan pembangunan fizikal serta hutan di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PIRECFS adalah satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang babitkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, ia bagi memelihara kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS.

"Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), hari ini bersetuju meluluskan dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu PIRECFS dan telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan.

"Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat ke-40 itu hari ini.

Ismail Sabri berkata, melalui pelaksanaan pelan induk itu, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan seperti yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan.

Katanya, perkara itu juga boleh dicapai melalui komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 6:23 PM