MOHD Fared ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan MAINJ di Hotel Katerina Batu Pahat hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
MOHD Fared ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan MAINJ di Hotel Katerina Batu Pahat hari ini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kerajaan Johor bersedia menyemak semula kadar bayaran elaun noja yang dibayar RM80 sebulan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebelum ini.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sehingga kini dianggarkan terdapat seramai lebih 800 orang noja berkhidmat di seluruh masjid dan surau di Johor.

"Semakan semula kadar elaun berkenaan cukup penting dalam usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan semua noja yang berdaftar dengan MAINJ," katanya.

"Jumlah elaun noja akan diteliti semula, saya sendiri akan panjangkan kepada pentadbiran kerajaan negeri untuk membuat penambahbaikan dari segi elaun.

"Saya percaya bayaran RM80 sebulan sebelum ini sudah agak lama dan perlu disemak bersesuaian dengan keadaan ekonomi pada masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan MAINJ di Hotel Katerina Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Penasihat MAINJ Datuk Dr Nooh Gadot dan Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Ismail Abu.

Menurut Mohd Fared, MAINJ sentiasa memastikan kadar kutipan dan agihan zakat terus seimbang dan telus selain merangkumi keperluan asnaf yang ada.

"Jumlah agihan bantuan keseluruhan setakat Mei lalu sebanyak RM153 juta. Keutamaan agihan zakat kepada asnaf yang menerima agihan sebanyak RM35 juta.

"Menerusi skim bantuan pendidikan pula, ia diagihkan di peringkat rendah, menengah dan tertinggi iaitu bantuan persekolahan, bantuan madrasah tahfiz, bantuan pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), bantuan dermasiswa dan bantuan komputer riba," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru golongan terkesan dan terjejas pada masa kini supaya berhubung dengan pejabat Kadi dan Amil Baitulmal di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan.

"Sesetengah orang kita ini, mereka malu. Saya harap mereka ini berhubung dengan pejabat daerah, ketua kampung, pejabat Kadi di kawasan mereka selain merujuk Amil Baitulmal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 2:40 PM