BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini meluahkan rasa sedih terhadap sikap segelintir Ahli Parlimen yang disifatkannya tidak menghormati Bentara yang menjalankan tugas semasa berlaku kekecohan pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Kekecohan membabitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, kebanyakannya dari Sabah itu berikutan dewan menolak usul tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah dan ekoran kekecohan itu Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) diarah keluar dan digantung daripada menghadiri dewan selama dua hari.

Ekoran penggantungan itu, Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) hari ini bangun bertanyakan mengenai status penggantungan Isnaraissah Munirah sama ada ditarik balik atau masih kekal.

Azhar berkata, penggantungan itu masih berkuat kuasa kerana Ahli Parlimen berkenaan tidak mematuhi syarat Timbalan Yang Dipertua Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk duduk dan menerima keputusan berhubung usul itu.

AZHAR di Dewan Rakyat, semalam. FOTO Bernama
AZHAR di Dewan Rakyat, semalam. FOTO Bernama

"Saya amat sedih semalam. Saya tengok Bentara, dua orang muda-mudi kita yang bekerja di Parlimen, berdiri 40 minit dekat situ, tidak dihormati langsung.

"Tak hormat saya tidak mengapa, saya Speaker (Yang Dipertua), I boleh terima. Itu hidup saya dan tugas saya, tapi hormatlah muda-mudi kita yang bekerja sebagai Bentara. Mereka bekerja sahaja, berdiri dekat situ tanpa dihormati.

"Apa signal yang kita cuba tunjuk kepada rakyat semua? Saya amat sedih… rakyat bukan tengok saya saja, rakyat tengok semua…. Saya selalu bagi kelonggaran, saya bertolar ansur, hendak cakap saya bagi cakap. Tapi lunas-lunas adab kita janganlah kita tinggalkan, tidak elok," katanya.

Beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang bangun dan cuba mencelah ketika Azhar meluahkan rasa kesalnya itu tetapi semua mereka tidak diberi laluan dan diarah duduk.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu turut merujuk kepada Cokmar Diraja yang terletak di hadapan beliau dan semua Ahli Parlimen yang menjadi simbol kuasa Diraja dan Parlimen.

"Cokmar Diraja berada di depan ni. Kepada siapakah yang kita tidak hormati semalam. Apakah signifikasinya Cokmar Diraja berada di depan ni," katanya.

Cokmar Diraja itu adalah satu alat kebesaran yang dikurniakan oleh Raja-raja Melayu yang menjadi simbol kuasa Diraja dan seterusnya kuasa Parlimen. Tanpa cokmar itu, tiada keabsahan bagi kedua-dua Dewan dan persidangan tidak dapat dijalankan.

Azhar turut menegur Ahli-ahli Parlimen yang kerap merujuk kepada buku Amalan Parlimen oleh Erskine May untuk membenarkan tindakan yang terarah kepada kepentingan mereka, namun apabila beliau membuat peraturan berlandaskan buku amalan itu, ia tidak dapat diterima oleh Ahli Parlimen.

"Bila saya buat peraturan, kita ikutlah peraturan itu. Ada alternatif, ada prosedurnya. Kalau nak disemak, saya akan usul untuk disemak. Jangan kita buat kecoh sebegitu," katanya.

Semalam, keengganan Isnaraissah Munirah untuk duduk dan menerima keputusan Speaker berhubung penolakan usulnya menyebabkan Mohd Rashid yang menggantikan Azhar mengarahkan Bentara mengiringi Ahli Parlimen Kota Belud itu keluar dewan.

Isnaraissah Munirah tidak keluar dan beliau yang dikelilingi wakil rakyat pembangkang dari Sabah tetap bersuara meminta usul itu dibahas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:25 PM