Yogeswaran, (dua dari kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO BERNAMA
Yogeswaran, (dua dari kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Temerloh: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga tuduhan termasuk membunuh isteri ketua kampung Felda Mengkuang di Bera, dua minggu lalu.

Tertuduh, K Yogeswaran, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan membunuh dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Kluang, Johor didakwa membunuh Siti Zulliana Said, 52, pada jam 6.30 pagi hingga jam 8 pagi pada 5 Julai lalu, di rumah mangsa di Felda berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu mencuri kereta Honda City milik suami mangsa, Mohd Haris Ibrahim, 58, yang didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama dan menggunakan dadah Methamphetamine yang dilakukan di lokap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera pada jam 12 tengah hari, 8 Julai lalu.

Siti Hajar menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bunuh bagi mendapatkan laporan bedah siasat selain 19 Oktober ditetapkan untuk sebutan semula kes dadah manakala 17 Ogos ditetapkan untuk kes mencuri kenderaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Yogeswaran turut mengaku bersalah atas tuduhan merompak wang RM9,300 milik Mohd Haris dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher lelaki berkenaan pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Sabri mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Norakhmar Mohd Sani menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan dibenarkan memandangkan tertuduh turut berdepan tuduhan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:02 PM