Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) akan menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh yang sudah beroperasi lebih 12 tahun. FOTO ARKIB NSTP
Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) akan menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh yang sudah beroperasi lebih 12 tahun. FOTO ARKIB NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh, di sini, yang sudah beroperasi lebih 12 tahun dijangka siap kira-kira tiga tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, projek membabitkan kawasan seluas 6.8 hektar itu merangkumi stesen bas bersepadu, bangunan komersial dan pangsapuri.

Katanya, sebuah syarikat dilantik pada 1 Jun lalu untuk melaksanakan projek berkenaan selepas 'Request For Proposal' (RFP) dikeluarkan sejak 2020 lalu.

"Bagaimanapun, proses pelaksanaan tergendala akibat pandemik Covid-19 sebelum dimulakan semula selepas keadaan semakin pulih demi memastikan rakyat Kelantan mendapat keselesaan dengan terminal bas yang baharu.

"Terminal Stesen Bas Bersepadu baharu ini dijangka siap pada hujung 2025 manakala keseluruhan pembangunan yang lain akan siap dalam tempoh sembilan tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, suasana persekitaran di terminal bas sementara Lembah Sireh dilihat tidak selesa dan kekurangan pelbagai kemudahan menyebabkan lokasi itu dianggap antara lokasi pengangkutan awam yang ketinggalan zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 3:16 PM