GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di daerah ini dan Manjung sentiasa bersiap sedia dalam berhadapan sebarang kemungkinan susulan fenomena air pasang besar, dijangka berlaku bermula hari ini hingga Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Zaidi Ahmad berkata, pihaknya mengenal pasti 15 kawasan berisiko mengalami banjir kilat akibat fenomena air pasang besar.

Bagaimanapun katanya, keadaan masih terkawal dengan paras kenaikan air tidak terlalu tinggi dan cuaca di lokasi juga masih baik setakat ini.

"Kawasan 'hotspot' berkenaan kebanyakannya membabitkan kampung nelayan di tepi laut dan sepanjang tempoh air pasang besar, APM akan membuat rondaan dan pemantauan ke kawasan berisiko dinaiki air secara berkala.

"Berdasarkan data bacaan paras air dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia, paras air tertinggi ialah 3.0 meter (m) jam 6.13 petang, hari ini, manakala untuk esok dan Ahad pula paras ketinggian air antara 2.8 m hingga 2.9 m pada pagi dan malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, jika paras air melebihi 3.4m ia boleh dikategorikan sebagai paras berjaga-jaga dan boleh menyebabkan berlaku banjir kilat.

"Jika hujan lebat melebihi dua jam berterusan dan bertembung dengan air pasang besar juga boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Manjung, Kapten (PA) Suliana Mohamad berkata, pengunjung yang berhasrat melakukan aktiviti di beberapa pantai peranginan di daerah ini disarankan supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan laut.

Katanya, mereka juga mempunyai anggota yang ditempatkan di menara tinjau di Teluk Batik dan Teluk Nipah, Pangkor yang bertugas setiap hari terutama hari cuti untuk pemantauan di lokasi.

"Kita sentiasa memantau serta memberi nasihat kepada pengunjung yang beriadah di pantai.

"Jika ombak besar dan keadaan tidak selamat untuk melakukan aktiviti di laut kita akan mengibarkan bendera amaran.

"Difahamkan setakat ini tiada arahan penutupan pantai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi apa yang penting pengunjung juga perlu sentiasa berwaspada," katanya.

Sementara itu, pengusaha bot nelayan, Faizul Sofian, 45, berkata, bot miliknya tetap keluar ke laut dengan mengutamakan aspek keselamatan.

"Fenomena air pasang besar tanpa cuaca buruk boleh dianggap lumrah biasa bagi nelayan tetapi jika disusuli ribut dan hujan lebat berterusan itu memang bahaya dan terlalu berisiko.

"Kami memang tidak akan ke laut atau jika sudah berada di laut baru berlaku ribut atau hujan lebat kami akan terus balik. Tetapi biasanya kami akan periksa keadaan cuaca dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 2:07 PM