Noor Hidayah Tanzizi


Bagan Datuk: Sebanyak 21 kawasan di daerah ini dikenal pasti berisiko mengalami banjir kilat akibat fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada Rabu hingga 8 November ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Zaidi Ahmad berkata, ia membabitkan tujuh kawasan di mukim Bagan Datuk, tujuh kawasan di mukim Hutan Melintang, tiga kawasan di mukim Teluk Bharu dan empat kawasan di mukim Rungkup.

Menurutnya, berdasarkan data bacaan paras air dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia, paras air tertinggi ialah 3.4 meter (m) pada Jumaat dan Sabtu ini.

"Paras air boleh menjadi lebih tinggi sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.

"Paras air tinggi akan menyebabkan limpahan ke kawasan persisiran pantai dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum surut semula," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, notis makluman mengenai perkara itu sudah dikeluarkan kepada penduduk terutama di pesisir pantai supaya berwaspada sepanjang tempoh itu.

Katanya, notis itu dikeluarkan berdasarkan data air pasang besar dikeluarkan Jabatan Laut.

"Berdasarkan maklumat itu, kita minta penduduk berwaspada jika berlaku banjir.

"Sebelum ini, fenomena air pasang besar di Bagan Datuk tidak menyebabkan pemindahan penduduk atau banjir besar, namun APM tetap berwaspada dengan sebarang kemungkinan dan sentiasa memantau secara berkala di semua kawasan berkenaan," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Sementara itu, di Manjung, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir kilat akibat air pasang besar di Pantai Remis dan Beruas.

Menurutnya, pihaknya difahamkan tiada penutupan pantai di Manjung dan pengunjung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 5:14 PM