AHMAD Maslan. FOTO Omar Ahmad
AHMAD Maslan. FOTO Omar Ahmad
Mohamed Farid Noh

Pontian: UMNO mendakwa tidak pernah wujud perbincangan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu juga tidak pernah mengetahui atau dimaklumkan adanya perbincangan cadangan untuk jawatan TPM berkenaan dengan BERSATU.

Berikutan MKT UMNO tidak pernah dimaklumkan perkara itu, maka katanya, parti menganggap sebarang dakwaan perbincangan mengenai jawatan TPM itu sebagai tidak wujud.

"Jawatan TPM itu, ia tidak pernah kami Ahli MKT UMNO ketahui ada perbincangan mengenai cadangan untuk melantik BERSATU sebagai TPM. MKT juga tidak pernah dimaklumkan perkara itu, oleh kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan, maka kami berpendapat isu itu tidak wujud pada kami.

"Apa yang kita lihat penerusan kesinambungan jawatan menteri-menteri kanan sahaja di Kabinet. Itulah yang kami faham tidak ada jawatan TPM dan yang ada hanya empat menteri kanan.

"Jadi dia (BERSATU) sudah ada dua menteri kanan apahal dia hendak jawatan TPM lagi. Pada ketika ini, sudah ada empat menteri kanan, dua daripada BERSATU, satu daripada UMNO dan satu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Oleh kerana dia (BERSATU) sudah ada dua menteri kanan saya kira tidak wajar dia tuntut seorang lagi TPM, saya kira tuntutan jawatan TPM itu tidak wajar. Seperkara lagi, ahli MKT tidak pernah dimaklumkan jawatan TPM ketika Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penyerahan daging korban di Benut, di sini, hari ini.

Kelmarin, media ada melaporkan, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu menjadi Perdana Menteri, mendakwa perjanjian di antara PN dengan Datuk Seri Ismail Sabri mengenai jawatan TPM memang wujud.

Malah, Datuk Dr Marzuki Mohamad dilaporkan mendakwa, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara PN yang dianggotai Bersatu, PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu dengan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 2:59 PM