Mohd Roji Kawi


Kuching: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu dibentuk bagi mengenal pasti punca fenomena kepala air yang mencetuskan banjir lumpur di Baling, Kedah, Isnin lalu.

Sebaliknya, agensi kerajaan bertanggungjawab harus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan ketat dan jujur bagi mengelak sebarang perbuatan yang boleh mengundang tragedi itu berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RCI boleh dilaksanakan bagi isu tidak membabitkan penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, bagi isu seperti pembukaan hutan untuk tujuan pertanian seperti yang berlaku di Baling, penguatkuasaan undang-undang harus dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kalau semua benda, semua isu kena ditubuhkan RCI, agensi lain tidak buat kerjalah.

"Harus difahami, RCI tidak ada kuasa untuk menguatkuasakan (undang-undang) tetapi hanya menjalankan siasatan dan kemudian mengemukakan cadangan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan 66 lembu korban untuk Parlimen Santubong di Stesen Kuarantin Jabatan Pertanian, Bako, di sini, hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, RCI juga mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan untuk membuat rumusan dan laporan sebelum ianya dibincangkan di Parlimen.

"Kemudian, mungkin dalam masa setahun selepas itu pula untuk membuat keputusan bagi dibawa kepada jemaah menteri.

"Selepas itu, jemaah menteri pula akan memilih lagi (apa rumusan RCI) itu yang perlu dikuatkuasakan," katanya.

Semalam, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Ramkarpal Singh berkata, RCI akan menjadi forum terbaik bagi menyiasat dengan teliti punca banjir lumpur dan kejadian kepala air yang mengorbankan tiga nyawa penduduk di Kupang, Baling itu.

Ini kerana katanya, pesuruhjaya mempunyai kuasa untuk menerima semua keterangan dan RCI juga boleh memeriksa pihak yang berkaitan dengan memanggil orang berkenaan hadir di hadapan mereka bagi memberi bukti.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kejadian di Baling itu secara jelas berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan.

Malah, beliau percaya jika undang-undang sedia ada dikuatkuasakan dengan penuh amanah maka penggondolan hutan tidak akan berlaku sehingga mendedahkan penduduk di kawasan itu kepada bahaya.

"Saya pernah menjadi Menteri Alam Sekitar juga kecewa serta marah dengan apa yang berlaku di Baling itu.

"Penggondolan hutan berlaku dengan jelas walaupun di kawasan bukit dan tidak mungkin pegawai penguat kuasa tidak mengetahuinya atau setiap orang (dalam agensi penguat kuasa) pejam mata sahaja. Sebagai agensi penguat kuasa, tidak kiralah siapa yang terbabit, ambil tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 2:02 PM