Noorazura Abdul Rahman


Baling: Gunung Inas tidak tersenarai sebagai kawasan berisiko berlakunya kepala air namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca bencana itu pada Isnin lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) dan disiapkan secepat mungkin.

Katanya, kedua-dua jabatan berkenaan turut melakukan tinjauan udara menerusi dron untuk mengenal pasti lokasi yang dilihat berisiko untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Setakat ini (Gunung Inas) tidak tersenarai (kawasan berisiko kepala air) kerana sebelum ini kalau ikut temubual dengan penduduk yang berusia lebih 70 tahun, mereka kata ini pertama kali insiden seumpama ini berlaku. Bayangkan sejak 70 tahun lalu atau lebih lama lagi tidak pernah berlaku, bagi saya ini adalah bencana alam.

"Tetapi saya dapat maklumat ada kawasan terutama berdekatan perumahan dan tumpuan awam seperti tempat berkelah atau taman eko rimba (yang berisiko) untuk kita pastikan ada tindakan sewajarnya," katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan bencana dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.

Bencana banjir dan kepala air di Baling kira-kira jam 4 petang Isnin lalu mengakibatkan tiga nyawa terkorban termasuk seorang ibu hamil empat bulan, manakala lebih 1,400 penduduk ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.

Takiyuddin berkata, pihaknya yakin dengan kepakaran dimiliki JMG bagi mengenal pasti punca tragedi banjir dan kepala air tanpa perlu membentuk jawatankuasa khas lain untuk melakukan siasatan.

Katanya, tiada keperluan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mahupun Suruhanjaya Siasatan Awam bagi melakukan siasatan.

"Saya percaya jabatan berkaitan sedang melakukan siasatan, tidak perlu suruhanjaya itu termasuk RCI, jabatan kita ada kepakaran tersendiri.

"Siasatan sedang berjalan, tak perlu masa panjang. Lebih-lebih lagi kawasan tempat kejadian ini tidak luas. Jadi sebagai Menteri saya harap dengan kerjasama kerajaan negeri dapat siapkan laporan sepantas mungkin," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut akan memperkasakan pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 15 tahun.

"Selepas ini kita akan memperketatkan dasar-dasar ladang hutan, kerajaan negeri tidak boleh meluluskan sebarang projek ladang hutan menerusi moratorium berkenaan," katanya.

Takiyuddin berkata, sebanyak 22 pencawang elektrik terjejas akibat kejadian banjir dan kepala air sekali gus menjejaskan 1,807 akaun pelanggan atau rumah.

Bagaimanapun katanya, bekalan elektrik sudah disambung semula kecuali sebuah rumah dan chalet yang memerlukan penanaman 80 tiang sepanjang tiga kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 3:13 PM