M Hifzuddin Ikhsan


Yan: Kerajaan sedia menggabungkan kepakaran tempatan dan asing bagi menubuhkan pasukan khas mengkaji lokasi berisiko berlaku bencana geologi dan tanah runtuh seluruh negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan pasukan khas yang masih dalam peringkat perbincangan itu akan dibawa segera ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Jelasnya, ketika ini setiap kementerian dan agensi mempunyai kepakaran masing-masing yang boleh diintegrasikan dalam mengumpul data serta maklumat berkaitan perlindungan keselamatan bencana.

"Saya bercadang mengumpulkan secara integrasi pakar dalaman kita terutamanya ahli geologi, pakar air dan kejuruteraan dari agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam pasukan khas.

"Kita juga mungkin boleh mendapatkan pandangan pakar luar negara yang berpengalaman dan mereka boleh bertindak bersepadu dalam mencari penyelesaian terbaik dalam membantu negara menghadapi bencana pada masa depan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke lokasi kejadian bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing Gunung Jerai.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit; Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi dan Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, berlaku bencana kepala air dan banjir lumpur yang menjejaskan kira-kira 1,000 penduduk di kaki Gunung Jerai terutamanya di Yan, Gurun dan Merbok di Kuala Muda.

DATUK Seri Takiyuddin Hassan (tengah) ketika lawatan kerja ke lokasi kejadian bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai di Titi Hayun. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Takiyuddin Hassan (tengah) ketika lawatan kerja ke lokasi kejadian bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai di Titi Hayun. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mengulas mengenai kejadian itu, Takiyuddin berkata pihaknya mencadangkan pembangunan satu sistem amaran awal pemantauan dan pengesanan tanah runtuh di Gunung Jerai demi keselamatan penduduk.

"Berdasarkan taklimat yang diberikan, kita perlu ada langkah berhati-hati agar jika berlaku lagi bencana, maka orang ramai terutama penduduk sekitar dapat mengambil tindakan awal berdasarkan petunjuk awal.

"Bagi sistem amaran yang lebih canggih akan disediakan kerajaan, namun bagi langkah awal kita letakkan tolok hujan di lokasi sekitar Gunung Jerai bagi mengesan jika berlaku taburan hujan lebih tinggi sebagai persediaan awal menghadapi banjir," katanya.

Menyentuh kerosakan yang berlaku di Taman Eko Rimba (TER) Titi Hayun, Batu Hampar dan Air Terjun Seri Perigi, beliau berkata kerja pembaikan dijangka mengambil masa dua bulan bagi disiapkan sepenuhnya.

"Kerja baik pulih TER yang menjadi tarikan pelancongan berkenaan akan dibuat segera dan taman berkenaan dijangka dapat dibuka semula bermula Disember depan.

"Kerajaan juga akan memastikan Kawasan Hutan Simpanan Kekal Gunung Jerai yang diklasifikasi sebagai hutan perlindungan kerana ia turut menjadi kawasan tadahan air bagi kegunaan penduduk sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 3:06 PM