Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi bela diri keatas pertuduhan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. FOTO ROHANIS SHUKRI
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi bela diri keatas pertuduhan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. FOTO ROHANIS SHUKRI
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa beliau tidak memberi surat pelantikan rasmi kepada Tetuan Lewis & Co, B Muralidharan bagi mengendalikan transaksi kewangan Yayasan Akalbudi diasaskannya, atas dasar kepercayaan dan persefahaman.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, segala tindakan diambil firma guaman itu mengikut undang-undang dan tidak semua perkara itu memerlukan kebenarannya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pelantikan itu selepas beliau hilang kepercayaan terhadap setiausaha eksekutifnya ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly kerana terlalu cuai dan membuat kesilapan berulang kali dalam pengendalian akaun yayasan itu.

Harris Ong: Melantik firma guaman itu masalah (transaksi kewangan yayasan itu) akan diatasi?

Ahmad Zahid: Secara lazimnya, akaun pelanggan akan dijaga secara profesional oleh akauntan (firma itu).

Harris Ong: Setuju dengan saya buat surat pelantikan bagi memastikan perkara sama tidak berulang?

Ahmad Zahid: Tiada surat rasmi. Saya kenal Muralidharan begitu lama dan percaya beliau, selain mendapatkan nasihat rakan Muralidharan serta bekas peguam berkaitan perkara itu.

Harris Ong: Setuju dengan saya surat lantikan itu mustahak?

Ahmad Zahid: Tidak penting jika ada persefahaman dan persetujuan.

Harris Ong: Atas alasan itu, Datuk Seri boleh mengambil kesempatan untuk memanipulasi firma itu untuk kepentingan sendiri?

Ahmad Zahid: Tiada niat apatah lagi berbuat demikian.

Harris Ong: Sukar buat surat lantikan?

Ahmad Zahid: Saya tidak diminta Muralidharan dan rakan kongsi untuk buat surat lantikan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Mengenai Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata, sebelum kos perintah pengesahan, nilai pembinaan masjid itu RM38 juta, manakala kawasan dataran dan parkirnya bernilai RM8 juta menjadikan kos keseluruhan RM46 juta.

Katanya, pembinaan masjid itu hasil sumbangan dirinya, adik-beradik dan orang ramai menerusi yayasan berkenaan.

Harris Ong: Ada keperluan bina masjid?

Ahmad Zahid: Benar.

Harris Ong: Tidak membazir wang diderma?

Ahmad Zahid: Benar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 2:25 PM