SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aizuddin Saad.
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan supaya wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) "dilupuskan".

Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, 32, yang juga saksi utama kes berkata, arahan berkenaan dikeluarkan oleh Syed Saddiq menerusi panggilan WhatsApp sekitar hujung bulan tiga atau awal bulan empat.

Saksi ke-13 pendakwaan itu, berkata, beberapa hari selepas Langkah Sheraton, Syed Saddiq memanggil beliau dan Penolong Setiausaha Armada Parti Bersatu, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, ke rumah beliau dan bertanyakan berapa baki di dalam akaun.

"Saya memaklumkan kepada Syed Saddiq bahawa baki dalam akaun parti adalah sebanyak RM1.8 juta sebelum diarah mengeluarkan RM1 juta untuk kegunaan program Armada," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, sama ada beliau akan mengeluarkan wang berkenaan sekiranya tidak menerima arahan berkenaan, Rafiq Hakim menjawab: "Tidak."

Wan Shaharuddin: Mengapa tidak?

Rafiq Hakim: Kerana pengeluaran tidak boleh dilakukan oleh saya seorang, perlu sekurangnya ada dua atau tiga persetujuan pemegang amanah.

Wan Shaharuddin: Dalam kes ini awak ada nyatakan bahawa duit berkenaan diagihkan kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari dan Ahli Bersatu, Muhammad Naqib Ab Rahman, apakah yang membuatkan anda berbuat demikian?

Rafiq Hakim: Syed Saddiq beritahu, SPRM nak datang ke rumah untuk periksa dan geledah, jadi beliau arah "clear" wang yang ada pada saya dan saya beri kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib.

Wan Shaharuddin: Kamu tahu ada siasatan oleh SPRM?

Rafiq Hakim: Ya.

Wan Shaharuddin: Kenapa ada siasatan?

Rafiq Hakim: Ia berhubung kehilangan wang RM250,000 jadi SPRM nak siasat.

Wan Shaharuddin: Kamu agihkan wang itu?

Rafiq Hakim: Ya. RM650,000 saya beri kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib. Baki RM100,000 pula, seingat saya digunakan untuk program Armada. Namun saya lupa program apa.

Wan Shaharuddin: Jadi pada 6 Mac keluarkan duit untuk kegunaan program parti?

Rafiq Hakim: Betul

Wan Shaharuddin: Pada awal bulan empat atau hujung bulan tiga, clearkan duit sebab SPRM hendak siasat?

Rafiq Hakim: Ya, seingat saya sebegitu.

Sementara itu, ketika ditanya di mana beliau menyimpan duit RM1 juta sebelum diserahkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib, Rafiq Hakim menjawab: "Di dalam rumah saya."

Katanya, Syed Saddiq memberitahu bahawa wang RM1 juta itu adalah hasil titik peluh beliau.

"Saya rasa tujuan beliau suruh saya lupuskan RM1 juta itu adalah kerana Syed Saddiq takut duit berkenaan akan disita oleh SPRM," katanya.

Tambah Rafiq Hakim, sehingga sekarang beliau masih berkawan dengan Syed Saddiq dan kali terakhir berjumpa adalah pada bulan puasa yang lalu.

Wan Shaharuddin: Awak berjumpa macam mana? Awak panggil dia ke atau dia datang sendiri ke?

Rafiq Hakim: Saya berjumpa dengan beliau di kediamannya.

Wan Shaharuddin: Ada dia beritahu mengenai perintah larangan bahawa beliau tidak boleh berjumpa saksi kes?

Rafiq Hakim: Tiada

Wan Shaharuddin: Ada apa-apa motif jahat untuk anda datang ke mahkamah memberi keterangan terhadap beliau?

Rafiq Hakim: Tiada, saya datang menyatakan apa yang saya tahu dan semuanya adalah benar.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakimzali iaitu Penolong Bendahari Armada yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 5:30 PM