Nor Fazlina Abdul Rahim

Bachok: Permintaan tinggi dan perbezaan harga yang ketara antara penyumbang utama berlakunya ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya bagaimanapun akan mengambil langkah yang proaktif bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan itu.

Katanya, satu perbincangan khusus dengan semua agensi penguatkuasaan sudah dilakukan semalam bagi membincangkan isu ketirisan minyak masak yang berlaku.

"Mesyuarat itu bagi menyelaras tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan kegiatan penyeludupan dan setiap agensi akan memainkan peranan masing-masing.

"Faktor yang menyumbang ketirisan adalah perbezaan harga yang ketara selain permintaan tinggi menyebabkan kegiatan ini berlaku secara berterusan. Ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih.

"Adalah tidak adil apabila subsidi yang dikeluarkan Malaysia, namun diseleweng dan dinikmati rakyat negara lain," katanya pada sidang media selepas melawat kilang pembungkusan minyak di Beris Kubor Besar, di sini hari ini.

AZMAN (kiri) ketika melawat kilang pembungkus minyak masak peket di Bachok, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AZMAN (kiri) ketika melawat kilang pembungkus minyak masak peket di Bachok, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Azman berkata, pada masa sama, pihaknya sedang mengenal pasti peringkat rantaian yang menyumbang kepada berlakunya ketirisan.

"Untuk minyak subsidi, kita mempunyai 22 pengilang, 305 pembungkus berlesen, 4,151 syarikat pemborong dan lebih 30,000 peruncit.

"Jadi, setiap peringkat ini mempunyai peluang yang mendorong kepada ketirisan dan disebabkan itu, kita akan membuat naziran di semua peringkat bagi mengesan perbuatan terlarang ini.

"Selain kawalan sempadan, kita turut memberi tumpuan agar bekalan minyak subsidi itu tidak diberi kepada pihak yang tidak sepatutnya seperti industri besar," katanya.

Beliau memberi amaran akan menggantung lesen dan kuota pihak yang terbabit dengan kegiatan yang mendorong ketirisan minyak bersubsidi, selain siasatan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 4:20 PM