GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Awatif Hasani


Kuala Lumpur: Negara masa kini akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan, namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) tidak menjangkakan keadaan kemarau boleh berlaku di Malaysia.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara sedang berada dalam musim Monsun Barat Daya bermula 14 Mei dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September depan.

"Semasa Monsun Barat Daya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

"Keadaan ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan.

"Bagaimanapun, hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang masih boleh berlaku berikutan fenomena garis badai (squall line) di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi," katanya dalam kenyataan.

Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Helmi berkata, semasa keadaan monsun melemah (monsoon break), hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang boleh berlaku pada waktu petang hingga awal malam.

Dalam masa yang sama, fenomena La-Nina juga sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga Disember 2022.

Katanya, berdasarkan tinjauan jangka panjang bagi bulan Julai hingga Oktober 2022, kebanyakan kawasan di Malaysia dijangka masih menerima hujan pada paras purata.

"Namun, beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata," katanya.

Helmi turut menasihatkan semua pihak supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air dan menjaga alam sekitar sebaiknya.

"Dalam keadaan kurang hujan dan cuaca panas, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya.

"MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Cuaca Panas sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37.0°C untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut," katanya.

Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:18 PM