Zaid Salim


Kuala Terengganu: Jenazah Tok Mun atau Maimun Yusuf, 103, yang pernah menggemparkan arena politik negara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol, di sini, hari ini.

Majlis pengebumian kira-kira 10.45 pagi tadi dihadiri ini anak saudara, cucu, cicit dan penduduk kampung dalam keadaan cuaca mendung.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Kampung Atas Tol, kira-kira 500 meter dari rumah Allahyarham untuk disembahyangkan.

Lebih 100 pelajar Imtiaz Serada dan Kuala Berang menunaikan solat jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Anak saudara arwah, Megat Shamsuddin Megat Yusuf, 55, berkata ibu saudara yang memiliki enam beradik adalah wanita yang 'keras' hati dan berpendirian tegas terutama berkaitan hal perjuangan orang Melayu.

"Arwah suami Mak Long dahulu seorang yang berpengaruh dan pernah menerima amanah daripada British untuk menjaga Tanah Melayu. Sebab itu arwah Mak Long ketika hayatnya sering bercakap mahu menunaikan amanah orang dulu-dulu.

"Mak Long sangat menjaga pemakanan dan itu antara rahsia dia panjang umur selain amalan solat dhuha. Lima adik beradiknya sudah meninggal dunia dan hanya seorang sahaja yang tinggal iaitu Zainab, 78, yang dipanggil Mak Su yang kini tinggal di Balai Besar, Dungun," katanya ketika ditemui, di sini.

Portal Harian Metro semalam melaporkan Tok Mun meninggal dunia sendirian di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol, di sini, pada 3.30 petang akibat kanser, masalah hati dan buah pinggang tahap 3.

Kematian wanita itu disedari anak saudaranya, Meriam Mamat, 72, ketika menghantar makanan petang apabila mendapati arwah tidak sedarkan diri.

Nama Tok Mun mula menjadi bualan susulan pembabitannya dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu PRU12 dan PRU13 ketika usia 89 tahun bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai calon Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 12:43 PM
Cucu Allahyarhamah Maimun Yusuf atau Tok Mun, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, meyiram pusara neneknya pada upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol. FOTO ZAID SALIM
Cucu Allahyarhamah Maimun Yusuf atau Tok Mun, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, meyiram pusara neneknya pada upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol. FOTO ZAID SALIM