Mayat mangsa yang dibawa naik ke pantai diperiksa anggota polis. FOTO ihsan PDRM
Mayat mangsa yang dibawa naik ke pantai diperiksa anggota polis. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Seorang pekerja ladang di Ladang Sahabat 22, di sini, maut selepas dibaham buaya ketika menangkap ikan di Pantai Sungai Bilis, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut sumber, mangsa seorang warga Filipina itu keluar bersama dua lagi rakannya untuk memanah ikan.

Bagaimanapun katanya, ketika sedang memanah, mangsa dipercayai diserang seekor buaya dan terus ditarik ke arah laut oleh reptilia berkenaan.

"Rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian berkenaan terus membuat laporan polis kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tanjung Labian.

"Anggota PGA kemudian membantu mencari mangsa di sepanjang pantai Tanjung Labian," katanya.

Menurutnya, mangsa ditemukan terapung di laut kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 5:14 PM