TUANKU Syed Faizuddin berucap melancarkan Karnival Jelajah ANMS. FOTO Aizat Sharif
TUANKU Syed Faizuddin berucap melancarkan Karnival Jelajah ANMS. FOTO Aizat Sharif
BERNAMA

Kangar: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan rakyat negeri ini supaya lebih peka tentang status kesihatan diri sebagai langkah kawalan bagi mencegah perebakan sebarang penyakit.

Titah baginda langkah bagi memperkasa individu, keluarga dan komuniti dalam penjagaan kesihatan adalah sangat penting bagi melahirkan rakyat yang sihat serta sejahtera.

"Kita semua telah banyak belajar daripada kawalan kendiri sewaktu menghadapi Covid-19.

"Oleh itu, gunakanlah pengetahuan dan pengalaman yang ada dalam menangani penyakit lain sama ada berjangkit atau tidak berjangkit," titah baginda semasa merasmikan Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato' Sheikh Ahmad, di sini, hari ini.

Berangkat sama pada majlis berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Exco Kesihatan Perlis, Teh Chai Aan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, budaya kebersihan persekitaran hendaklah dipupuk dalam kalangan masyarakat bagi menjamin kesihatan rakyat di negeri ini.

"Beta amat berharap rakyat Perlis akan membudayakan hidup sihat dari sudut fizikal dan mental di samping menjadikan sebuah persekitaran idaman buat setiap orang," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, walaupun penekanan kepada aspek promosi dan pencegahan kesihatan sering diutamakan, sambutan yang diberikan dalam kalangan rakyat masih pada tahap kurang memuaskan.

"Sememangnya tanggungjawab jabatan kesihatan untuk memberi rawatan namun amalan cara hidup individu dipengaruhi pelbagai faktor yang tidak mampu ditangani secara bersendirian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 9:48 PM