Norena bersama Sulaiman ketika melakukan Walkabout di Pasar Besar MBMB, Bachang, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI
Norena bersama Sulaiman ketika melakukan Walkabout di Pasar Besar MBMB, Bachang, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kira-kira 20 peruncit di negeri ini dalam pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka selepas disyaki cuba menyorok bekalan minyak masak.

Tindakan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol bermula 1 Julai depan.

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan pihaknya menerusi pemantauan dijalankan menerusi Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (OP ATM) sejak awal Jun.

Beliau berkata, terdapat peniaga pada waktu ini disyaki mengawal jualan minyak masak botol bagi mendapat keuntungan berganda selepas 30 Jun ini.

"Terdapat kira-kira 20 buah premis 'panas' dalam pemerhatian kita kerana disyaki pemiliknya sedang cuba mengawal jualan bekalan minyak masak tulen bagi pek kemasan botol.

"Kiami percaya peniaga ini akan jual semula stok bekalan ini selepas 1 Julai depan pada harga jauh lebih mahal atau dua kali ganda berbanding harga yang dibeli mereka ketika ia masih bersubsidi," katanya selepas Sesi Walkabout bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Pasar Awam Bachang, di sini, tadi.

Menurutnya, pasar raya dan kedai runcit yang dikesan adalah lebih 10 terletak di daerah Melaka Tengah manakala bakinya di Jasin dan Alor Gajah.

"Oleh itu bagi mengesan dan mengekang hal ini penguatkuasa KPDNHEP secara berterusan akan menjalankan pemantauan termasuk mengadakan penyamaran dengan berpakaian preman," katanya.

Mengulas lanjut Norena berkata, sepanjang awal tahun ini sebanyak 235 kes direkodkan dengan 161 daripadanya diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

"Sebanyak 344 aduan juga direkodkan dengan 111 daripadanya adalah berkaitan harga, diikuti transaksi dalam talian, perkhidmatan mengelirukan selain beberapa lagi kategori aduan.

"KPDNHEP turut mengeluarkan 161 notis aduan kepada peniaga bagi mengesan sebarang kemungkinan berlakunya pencatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 3:32 PM