Minyak masak.
Minyak masak.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) berharga RM2.50 di negeri ini cukup walaupun permintaan meningkat.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, pemantauan pegawai penguat kuasa mendapati bekalan mencukupi walaupun kebanyakan pelanggan memilih untuk mendapatkan minyak berkenaan berbanding minyak masak botol.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna, terutama peniaga makanan supaya tidak membeli minyak masak paket melebihi keperluan biasa kerana ia akan mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna lain.

"Setakat ini belum ada aduan minyak masak paket bersubsidi berkurangan di pasaran negeri ini dan jika ada, kami akan mengambil langkah segera bagi menstabilkan bekalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Permintaan minyak masak paket dilaporkan meningkat sejak seminggu lalu berikutan kebanyakan pengguna memilih minyak berkenaan selepas harga minyak masak botol dua dan lima kilogram meningkat.

Harga minyak masak botol dua kg naik kepada antara RM12 hingga RM12.50 berbanding antara RM9 hingga RM10 sebelum ini manakala minyak masak lima kg naik kepada RM33 hingga RM33.50 berbanding antara RM24.50 hingga RM27.50 sebelum ini.

Kenaikan itu dilaporkan berikutan peningkatan harga minyak sawit di pasaran tempatan dan dunia.

Sementara itu, pengguna Shamsul Bahari, 51, berkata, dia tidak menghadapi masalah mendapatkan minyak masak paket kerana bekalan yang mencukupi sama ada di pasar raya atau kedai runcit setakat ini.

"Alhamdulillah, tiada masalah untuk mendapatkannya kerana bekalan memang banyak walaupun kebanyakan pelanggan beralih kepada minyak masak paket yang harganya cuma RM2.50 berbanding minyak masak botol yang lebih tinggi harganya," katanya di pasar raya di pekan ini hari ini.

Suri rumah yang hanya ingin dikenali sebagai Faridah berkata, dia tidak membeli minyak masak paket melebihi keperluan kerana bekalan melimpah-ruah setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:24 PM