LELAKI warga Pakistan yang juga peniaga pasar malam ditahan menerusi Op Kutip. FOTO Ihsan JPN
LELAKI warga Pakistan yang juga peniaga pasar malam ditahan menerusi Op Kutip. FOTO Ihsan JPN
Muhaamad Hafis

Kajang: Lelaki warga Pakistan yang juga peniaga pasar malam ditahan kerana memiliki dua kad pengenalan palsu dalam serbuan Op Kutip di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah, di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguakuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Nooruladzim Ateman berkata, enam pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya melakukan serbuan pada 12.10 tengah malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 50-an kerana didapati memiliki dua kad pengenalan palsu yang ditemui di dalam dompet miliknya.

"Hasil soal siasat dilakukan mendapati lelaki berkenaan mengaku menggunakan kad pengenalan palsu itu sejak 2005 yang diperoleh daripada ejen di Sabah pada harga RM1,000," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 9:01 AM