Pelancaran buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mahadi Che Ngah (tengah) turut serta Ketua Polis IPD Sentul, ACP Ben Eng Lai dan Khairul Anuar Mhd Juhri di DBKL, Jalan Raja Laut. FOTO Amirudin Sahib
Pelancaran buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mahadi Che Ngah (tengah) turut serta Ketua Polis IPD Sentul, ACP Ben Eng Lai dan Khairul Anuar Mhd Juhri di DBKL, Jalan Raja Laut. FOTO Amirudin Sahib
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pelbagai pendekatan bagi memulihkan persekitaran dalam usaha memberikan imej baharu dan bersih kepada Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Pengarah Jabatan Pelesenan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, pelbagai usaha dilakukan bersama agensi berkaitan termasuk kejayaan mengeluarkan lebih 1,500 warga asing dalam program pemutihan di PBKL bermula Mac 2020.

Katanya, tindakan itu diambil di bawah pemerkasaan Undang-Undang Kecil Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002.

"Melalui pasukan khas diwujudkan, kita mengembleng usaha dengan agensi berkaitan untuk memutihkan PBKL termasuk tidak membenarkan warga asing bekerja dalam premis itu.

"Kita menganggarkan 1,500 warga asing dan pemegang Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berjaya dikeluarkan sejak Mac 2020 hingga Disember 2020.

"Kuasa kita hanya menghalang mereka bekerja di PBKL dan pemantauan dilakukan berterusan sehingga hari ini, (tetapi) selebihnya tertakluk kepada bidang kuasa agensi lain," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Buku Transformasi PBKL 'Menjana Ekonomi Norma Baharu' di Menara DBKL, di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Mengulas lanjut isu warga asing di PBKL, Khairul Anuar berkata, pihaknya hanya membatalkan hampir lima daripada 448 pemilik lesen atas pelbagai faktor termasuk menggajikan pekerja asing dan faktor lain yang melanggar Undang-Undang Kecil Pasar Borong.

"Setakat kita sedia maklum memang tiada lagi warga asing di situ sejak undang-undang terbabit diperkasakan dan kita berusaha keras supaya mereka tidak bekerja dalam PBKL.

"Mungkin ada yang membawa masuk (pekerja warga asing) secara curi-curi, kadangkala kita tidak boleh elak, tetapi kalau kita dapati berlaku, kita akan tangkap dan minta pemilik lesen beri surat tunjuk sebab, malah sesetengah kes lesen mereka akan dibatalkan.

"Selain itu, kita juga ada memasang kamera litar tertutup yang boleh mengesan jika ada pekerja asing dalam pasar borong serta pengenalan khas seperti pas dan baju-T seragam bagi memudahkan pemantauan," katanya.

Dalam pada itu katanya, menerusi program sama mereka turut menyediakan 2,150 tawaran kerja kepada rakyat tempatan bekerja di PBKL.

"Setakat dimaklumkan, tiada aduan serius kekurangan tenaga kerja di PBKL... mungkin ada permohonan, tetapi saya pasti pekerja sedia ada mencukupi menampung kekosongan ditinggalkan pekerja asing.

"Dengan itu, inisiatif MyJob@PBKL mewujudkan norma baharu dengan menggantikan keseluruhan pekerja asing kepada warganegara serta memastikan pemborong menjaga kebajikan pekerja.

"Pelbagai cara dilakukan untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja di PBKL termasuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain menyediakan asrama pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 8:00 PM