INSIDEN pergaduhan seorang lelaki yang dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, kelmarin. FOTO tular
INSIDEN pergaduhan seorang lelaki yang dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, kelmarin. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Hanya kerana perselisihan faham berkaitan hantaran di Facebook, seorang lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 48 tahun jam 12.40 tengah malam semalam.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku jam 10 malam kelmarin, semasa mangsa berada di restoran bersama empat lelaki dengan dua daripada mereka dikenali pengadu.

"Pengadu dan suspek berjumpa kerana mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah peribadi mengenai perselisihan faham hantaran di Facebook.

"Bagaimanapun, perbincangan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan memukul mangsa serta rakannya menggunakan batang besi paip hingga mengakibatkan mangsa cedera di kepala," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasir berkata, pengadu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bandar Mahkota Cheras dan menerima 12 jahitan di kepala akibat kecederaan terbabit.

"Suspek yang terbabit dalam kejadian itu iaitu lelaki berusia 39 tahun sudah dikenal pasti dan sedang dikesan polis bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ahmad Faizal di talian 019-7691924 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 3:03 PM