BEBERAPA terumbu karang yang cantik di perairan Port Dickson yang sempat dirakam oleh penyelam. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
BEBERAPA terumbu karang yang cantik di perairan Port Dickson yang sempat dirakam oleh penyelam. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my

Port Dickson: Keistimewaan tersembunyi apabila Pantai Tanjung Biru atau lebih dikenali sebagai 'blue lagoon' di sini dan sekitarnya, dianugerahkan terumbu karang yang cantik sekaligus menjadi tumpuan penyelam dasar laut.

Bagaimanapun lokasi terumbu karang ini diletakkan dalam kawasan larangan untuk nelayan manakala penyelam harus mendapat kebenaran pihak berwajib terlebih dahulu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, pasukan penyelam Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan melaksanakan pemantauan kesihatan dan litupan karang di sekitar lokasi itu termasuk Tanjung Tuan dan Bagan Pinang di sini, baru-baru ini.

"Dalam misi itu, pasukan penyelam menyelam di dua kawasan yang kaya dengan terumbu karang iaitu di 'Monkey Bay' dan Pantai Purnama.

"Pengumpulan data ini penting bagi mengetahui status semasa terumbu karang yang begitu unik tanpa bergantung kepada struktur pulau seperti terumbu karang lain di negara kita," katanya semalam.

Katanya, penemuan itu menjadikan kawasan peranginan Port Dickson sebagai 'syurga' baharu penyelam dasar laut.

"Kawasan ini sudah diwartakan sebagai kawasan larangan dan mereka (penyelam) hanya boleh tengok dan tidak boleh ambil karang ini kerana ia terletak dalam 'Kawasan Larangan Perikanan' yang diwartakan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Halimi berkata, hasil tinjauan dilakukan pakar mendapati kebanyakan terumbu karang di perairan Port Dickson adalah jenis tahan lasak (hardy) dengan persekitaran yang agak keruh.

"Namun ia masih kelihatan menarik dan menjadi lokasi habitat ikan terutamanya ikan hiasan.

"Pihak kami terus membuat pemantauan bagi memastikan kepentingan pemuliharaan dan restorasi batu karang di Port Dickson terpelihara.

"Kawasan ini secara tidak langsung adalah menjadi harta negara yang tidak ternilai dan harus dipertahankan demi memulihara kelestarian khazanah alam semulajadi di laut untuk jangkamasa yang panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 9:19 AM