RUMAH lot yang dipercayai menjadi lokasi kegiatan penyeludupan manusia membabitkan warga Myanmar. FOTO Ihsan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinan
RUMAH lot yang dipercayai menjadi lokasi kegiatan penyeludupan manusia membabitkan warga Myanmar. FOTO Ihsan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan manusia membabitkan warga Myanmar susulan penahanan empat dalang utama termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah lot, di sini, Isnin lalu.

Turut ditahan dalam serbuan Op Pintas yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Kedah dan Bukit Aman itu adalah 20 lelaki dan empat wanita pendatang asing tanpa izin ( Pati ) warga Myanmar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai bergiat aktif di kawasan utara tanah air sejak awal tahun ini.

"Kesemua dalang yang disyaki sebagai tekong darat itu ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).

"Sementara Pati pula disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (kesalahan tidak memiliki permit yang sah).

"Semua suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kepala Batas dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara" katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam FB PDRM Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 6:53 PM