ARTHUR Chiong. FOTO Ihsan PKR
ARTHUR Chiong. FOTO Ihsan PKR
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Mahkamah pilihan raya hari ini memutuskan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Mac lalu adalah sah.

Biro Guaman Jabatan Pilihan Raya Pusat PKR dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat Hakim Azizul Azmi Adnan yang menolak petisyen pilihan raya daripada calon Barisan Nasional (BN), S Suppayah.

Beliau berkata, mahkamah pilihan raya di Putrajaya memerintahkan Suppayah membayar kos sebanyak RM30,000 kepada responden pertama iaitu Chiong dan RM30,000 kepada responden kedua serta responden ketiga iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Alasan penghakiman yang lebih terperinci akan dimuat naik oleh pihak mahkamah pilihan raya menerusi laman sesawang rasmi kehakiman dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

G Manivanan, Adi Zulkarnian Zulkafli, Lau Yi Leong, Adly Zulfadhly Zulkefly dan Tan Wye Nye mewakili Chiong manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dan Sallehuddin Md Ali mewakili SPR.

Rajasekaran Thiyagarajan pula mewakili Suppayah.

Chiong menang kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi dalam PRN Johor pada 12 Mac lalu.

Setiausaha PKR Cabang Tebrau itu menewaskan Suppayah, Tan Heng Choon dari Perikatan Nasional (PN) dan Lee Ming Wen dari Parti Warisan.

Susulan itu MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu berikutan MIC tewas hanya 137 undi pada PRN itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 8:43 PM