AMIRUDIN (kiri) bersama Aminuddin pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan. FOTO BERNAMA
AMIRUDIN (kiri) bersama Aminuddin pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin di Gemas, Negeri Sembilan dan Kuala Langat Selatan dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bekalan import itu sehingga dua hingga tiga peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek tanaman itu adalah usaha sama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar Negeri Sembilan - Pemerbadanan (MBINS) menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan.

"Projek ini sebagai tanda komitmen untuk menyelesaikan isu kenaikan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan jagung bijirin import.

"Projek ini akan bermula sebaik kerja pembersihan selesai yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.

"Projek di atas tanah seluas 283.2 hektar (700 ekar) di kedua-dua kawasan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama Rentas Negeri antara PKPS dan MBINS bagi tanaman jagung bijirin menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma PKPS, di sini, semalam.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengarah Urusan, MBINS, Datuk Mohd Khidir Majid.

Turut hadir sebagai saksi adalah Menteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Mohamad Khairil berkata, usaha sama itu sebahagian iltizam untuk menstabilkan harga makanan ayam khususnya di kawasan Lembah Kelang.

"Apabila siap kelak, projek ini mampu menghasilkan sebanyak kira-kira 5,490 tan jagung bijirin setiap tahun untuk dipasarkan kepada pemain industri ternakan tempatan.

"Dengan harga pasaran semasa iaitu RM1,950 per tan, usaha sama ini berupaya menjana pendapatan sebanyak RM10.7 juta setahun.

"MoU ini akan diperluaskan lagi menerusi dokumen perjanjian yang lebih terperinci bagi meneroka potensi khusus membabitkan tanaman makanan ternakan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 8:22 AM