Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Padah menghina institusi raja dan agama Islam menggunakan Facebook (FB) tiga tahun lalu, seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Prajiv Lionel Proctor, 40, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes itu hari ini.

Sukarelawan rumah ibadat itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didapati menggunakan laman profil Facebook miliknya, 'Lionel Proctor' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik.

PRAJIV didenda RM5,000 atas kesalahan menghina raja dan Agama Islam melalui komen di Facebooknya pada 2019. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
PRAJIV didenda RM5,000 atas kesalahan menghina raja dan Agama Islam melalui komen di Facebooknya pada 2019. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Ia dilakukan dengan niat menganiayai orang lain melalui komen di akaun Facebook 'Bantal Busuk' pada 1 tengah hari di Kilometer 4 Bukit Piatu di sini, pada 29 Disember 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya da boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari, manakala tertuduh diwakili Ishak Mohd Kari.

Terdahulu, Ishak merayu agar hukuman ringan dikenakan terhadap Prajiv atas alasan anak guamnya amat menyesal atas kesalahan dilakukan serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Katanya, tertuduh berjanji tidak mengulangi kesalahan itu yang dikatakan berpunca daripada dua penyakit dihidapinya termasuk kanser tiroid sejak usia 18 tahun lalu dan kini masih menjalani rawatan susulan.

Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum supaya bertanggungjawab terhadap komunikasi di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 3:29 PM