DATUK Rosol Wahid. FOTO Ghazali Kori
DATUK Rosol Wahid. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga sayur-sayuran yang tidak menentu ketika ini dijangka stabil selewat-lewatnya awal Julai depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pengeluar dan pembekal sayuran memberikan jaminan bekalan sayur akan stabil dan kenaikan harga sayur yang berlaku adalah bersifat sementara disebabkan beberapa faktor.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran yang berpunca daripada kekurangan bekalan disebabkan perubahan cuaca.

"Kita ada terima laporan kenaikan harga sayur yang disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, masalah penyakit dan kekurangan tenaga buruh.

"Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kenaikan harga ini tidak lama dan akan kembali stabil tidak lama lagi.

"Kita jangka ia akan stabil antara hujung bulan ini atau awal Julai ini dan kita di KPDNHEP sentiasa mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Jualan Prihatin di Masjid Kampung Gaung di sini semalam.

Rosol berkata, walaupun isu kenaikan itu tidak membimbangkan, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di premis niaga merangkumi pasar basah, pasar awam, pasar raya termasuk kedai runcit bagi mengelak berlakunya manipulasi harga yang boleh menganiaya pengguna.

Katanya, tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 boleh dikenakan kepada peniaga yang mengenakan harga melampau sehingga membebankan pengguna.

Sebelum ini, harga sayur-sayuran dilaporkan naik di antara 30 hingga 50 peratus sejak awal Aidilfitri lalu berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis sayuran selain kenaikan mendadak harga baja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 12:20 PM