LAPORAN portal Harian Metro  sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Ibu kepada lelaki yang maut selepas dirempuh lori ketika menukar tayar kereta yang pancit di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, dekat Bukit Rotan, Khamis lalu, masih terkejut dan trauma dengan tragedi hitam itu.

Rubiah Basok, 71, berkata, sehingga hari ini bunyi dentuman kuat yang menyebabkan Zunairi Ahmad, 40, tercampak ke belakang kereta mereka masih terngiang-ngiang di telinganya.

Selain Zunairi, kemalangan turut mengorbankan seorang penyelia Kementerian Kesihatan (KKM) berusia 55 tahun.

Selepas pemergian anak ketiga daripada empat beradik itu, Rubiah mengakui tidak dapat tidur lena selain merindui kenangan bersama arwah.

"Sejujurnya, saya memang terasa dengan pemergian arwah. Semasa hayatnya, arwahlah yang banyak membantu saya dalam urusan seharian selepas suami meninggal dunia sejak 17 tahun lalu.

"Ke mana saya pergi, mesti dengan arwah. Hinggakan kenangan bersamanya terlalu mendalam hingga sukar untuk dilupakan," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim di kediamannya di Taman Kasawari, di sini.

Katanya, selepas ini dia mungkin tinggal berseorangan di rumah memandangkan tiga lagi anaknya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga.

"Selepas kemalangan itu, keluarga, sanak saudara dan sahabat handai tidak putus datang ke rumah untuk memberi kata semangat.

"Saya tinggal di perumahan ini sejak 20 tahun lalu. Terlalu banyak kenangan manis bersama arwah sehingga sukar diungkap dengan kata-kata.

"Kami sekeluarga reda dan percaya dengan ketentuan Allah SWT. Lagi pun, arwah meninggal dunia dalam keadaan membantu orang yang sedang dalam kesusahan," katanya.

Dalam pada itu katanya, mereka berharap supaya siasatan telus dan adil berhubung kemalangan menimpa arwah dapat dilaksanakan oleh polis.

Terdahulu, media melaporkan tindakan dua lelaki termasuk seorang kakitangan KKM menukar tayar kereta yang pancit berakhir dengan tragedi apabila mereka maut dirempuh sebuah lori.

Berita berkaitan:

  • 'Dunia gelap seketika lihat jasad anak di belakang kereta'
  • Ajal ketika tukar tayar pancit [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 8:15 AM