Oleh Noorazura Abdul Rahman


Baling: Ramai mengimpikan mata yang cantik sehingga ada memakai kanta lekap berwarna untuk kelihatan lebih memukau. Namun bagi dua beradik di Kampung Chenerai, mukim Siong di sini, mereka tidak memerlukan kanta lekap berikutan dianugerahkan Allah mata berwarna biru semula jadi sejak lahir.

Umi Aqilah Ahmad Zailani, 19, dan Muhammad Safwan, 13, memiliki sepasang mata berwarna biru yang diwarisi daripada bapa mereka Ahmad Zailani Dollah, 52.

Menurut ibu mereka Esah Mat Hassan, 45, dia pada mulanya tidak perasan mata Umi Aqilah berwarna biru sehingga lah diberitahu jururawat selepas seminggu dia dilahirkan.

"Ketika itu saya bawa anak ke hospital untuk membuat pemeriksaan demam kuning, apabila dibawah cahaya lampu jururawat perasan matanya berwarna biru.

"Saya agak terkejut namun bersyukur kerana dia mewarisi sepasang mata biru bapanya selepas dua kakaknya dan seorang abangnya bermata hitam biasa,"katanya ketika ditemui di rumahnya.

Bagaimanapun Umi Aqilah mengalami cacat pendengaran selepas beberapa bulan dilahirkan akibat kerosakkan bahagian gegendang telinga.

Ibu kepada tujuh orang anak ini berkata ketika mendukung Umi Aqilah ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan telinganya, orang ramai sering menegur dia sengaja memakaikan Umi Aqilah kanta lekap bewarna biru ketika kecil.

Umi Aqilah, 19, dan Muhammad Safwan, 13, bersama bapa mereka  Ahmad Zailani Dollah, 52, yang memiliki sepasang mata biru. FOTO Ihsan Umi Aqilah
Umi Aqilah, 19, dan Muhammad Safwan, 13, bersama bapa mereka Ahmad Zailani Dollah, 52, yang memiliki sepasang mata biru. FOTO Ihsan Umi Aqilah

"Saya pun terangkan yang mata anak saya asli dan tidak pakai apa-apa di matanya, kanta lekap pun saya tidak tahu dan kenal itu apa.

"Memang mata anak saya jadi perhatian ke mana saja saya bawa mereka pergi, malah ketika di sekolah pun rakan-rakan sekelas dan guru turut menegur dan minat dengan keunikan mata mereka," katanya yang merupakan suri rumah.

Esah berkata suaminya Ahmad Zailani mewarisi mata biru daripada ibunya Eshiah Ismail, 73, malah dua sepupu Ahmad Zailani turut memiliki sebelah mata berwarna biru.

"Arwah nenek kepada suami saya juga memiliki sepasang mata biru, mungkin ini keturunan mereka (suami) sebab sebelah saudara mara saya semuanya mata berwarna hitam," katanya.

Usaha menemuramah Umi Aqilah agak terhad kerana perlu menggunakan bahasa isyarat dan menulis di kertas setiap soalan.

Anak ke empat daripada tujuh beradik ini berkata dia bersyukur 'dipinjamkan' Allah sepasang mata yang cantik dan mengakui sering menjadi perhatian rakan-rakan sekolah dan guru sewaktu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar dan Pendidikan Khas Intergrasi di Sungai Petani sebelum ini.

Gadis yang agak pemalu ini berkata dia tidak mahu terlalu leka dengan pujian kerana setiap manusia tetap mempunyai kelemahan masing-masing.

"Kalau di dalam kelas, ramai yang sukatengok mata saya, cikgu-cikgu pun suka tengok mata saya,"katanya.

Umi Aqilah berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kulinari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis selepas ini bagi mengejar cita-citanya menjadi tenaga pengajar dalam bidang berkenaan.

Umi Aqilah Ahmad Zailani, 19, yang memiliki sepasang mata biru. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Umi Aqilah Ahmad Zailani, 19, yang memiliki sepasang mata biru. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 12:53 PM