Roselan Ab Malek

Bentong: Lima terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke tebing sungai di Jambatan Kampung Baru di sini, petang hari ini.

Kereta berkenaan dikatakan dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun bersama empat penumpang termasuk seorang wanita dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Karak.

Kesemua mangsa berkenaan berusia 17 hingga 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda Jazz gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di kawasan selekoh sehingga terbabas ke kiri jalan dan terhumban di tebing Jambatan Kampung Baru.

Menurutnya, kesemua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Bentong.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang memandu dan menunggang supaya lebih berhati-hati serta memandu secara berhemah di musim hujan ketika ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 11:49 PM
LIMA orang terselamat dari maut apabila sebuah kereta bersama empat orang penumpang terbabas sendiri dan terjatuh ke tebing sungai di Jambatan Kampung Baru Bentong pada kira - kira jam 6.45 petang hari ini. FOTO IHSAN PDRM
LIMA orang terselamat dari maut apabila sebuah kereta bersama empat orang penumpang terbabas sendiri dan terjatuh ke tebing sungai di Jambatan Kampung Baru Bentong pada kira - kira jam 6.45 petang hari ini. FOTO IHSAN PDRM